KERAJAAN Malaysia akan memperoleh semula lebih banyak wang bernilai jutaan ringgit yang disalahguna oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) SRC International Sdn Bhd dengan bantuan pihak berkuasa Singapura, kata sebuah firma guaman republik itu.
Firma Tan, Rajah & Cheah yang dilantik oleh Putrajaya bagi mendapatkan semula wang tersebut, dalam kenyataannya berkata, proses itu (memulangkan wang) masih dijalankan dan pengumuman lanjut akan dimaklumkan kemudian.
“Jutaan ringgit lagi (yang dikaitkan dengan dana 1MDB) akan dipulangkan dalam tempoh terdekat,” kata firma itu dalam kenyataan kali kedua pada hari ini.
Terdahulu, firma itu mengumumkan perintah pelupusan wang yang diambil secara salah menurut undang-undang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan/atau Kumpulan Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Wang yang diperoleh dalam pelbagai mata wang berjumlah S$15.3 juta (RM45.9 juta) dan dipindahkan ke akaun bank perolehan khas 1MDB di Kuala Lumpur.
Akaun tersebut dibuka bagi tujuan mengumpul semula dana yang telah disalahgunakan.
“Memandangkan siasatan dan proses mendapatkan semula wang sedang dijalankan, tidak wajar untuk mengeluarkan butiran lanjut pada ketika ini,” kata firma itu.
Kesemua wang yang ditemukan akan dimasukkan ke akaun yang sama, katanya.
Firma itu dilantik oleh Putrajaya bagi mengambil tindakan terhadap 53 individu dan syarikat untuk mendapatkan semula dana 1MDB.
Peguam Negara Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma itu, Tan, Rajah & Cheah, pada Julai, lapor Bernama yang memetik sumber tidak dinamakan.
Pada 31 Mei lalu, pasukan khas 1MDB berkata Singapura dan Malaysia bersetuju untuk bekerjsama bagi mendapatkan semula wang tersebut. – 10 September, 2018.
Komen