MAHKAMAH Singapura memberikan perintah pelupusan wang yang diambil secara salah menurut undang-undang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan/atau Kumpulan Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Wang yang diperoleh dalam pelbagai mata wang berjumlah S$15.3 juta (RM45.9 juta) dan dipindahkan ke akaun bank perolehan khas 1MDB di Kuala Lumpur.
Pengumuman itu dibuat hari ini oleh Tan, Rajah & Cheah, firma undang-undang Singapura yang diupah oleh Putrajaya ketika peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap 53 individu dan syarikat, bagi menuntut wang milik 1MDB.
“Usaha mendapatkan kembali aset lain yang diambil secara salah masih diteruskan,” tegas firma itu dalam satu kenyataan.
Peguam Negara Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma itu, Tan, Rajah & Cheah, pada Julai, lapor Bernama yang memetik sumber tidak dinamakan.
Sumber itu berkata kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan di mahkamah tinggi di Singapura terhadap 53 defendan untuk mendapatkan arahan agar wang itu dikembalikan.
Pada 31 Mei, pasukan petugas khas 1MDB berkata Singapura dan Malaysia bersetuju bekerjasama membawa balik wang itu, dipercayai diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara. – 10 September, 2018.
Komen