Malaysia lantik firma guaman Singapura tuntut wang 1MDB


KERAJAAN Malaysia melantik firma guaman Singapura untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap 53 individu dan syarikat bagi menuntut wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber, Peguam Negara Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma guaman Tan Rajah & Cheah, awal minggu ini.

Menurut sumber itu, kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di Singapura terhadap 53 defendan bagi mendapatkan perintah untuk mendapatkan semula wang milik 1MDB.

Sumber itu berkata Thomas mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Singapura Lucien Wong baru-baru ini untuk memudahkan pemulangan wang 1MDB yang dibekukan oleh pihak berkuasa Singapura.

Antara 53 defendan itu ialah ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low.

“Perintah mahkamah adalah perlu untuk mengeluarkan wang itu kepada 1MDB atau kerajaan Malaysia,” kata sumber itu.

Malaysia melantik peguam cara dari Singapura untuk memfailkan tindakan kerana peguam Malaysia tidak dibenarkan mewakili di mahkamah Singapura.

Pada 31 Mei, Pasukan Petugas Khas 1MDB, dalam satu kenyataan berkata Singapura dan Malaysia bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha membawa balik wang dipercayai telah diselewengkan daripada 1MDB. – Bernama, 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen