Kenapa ‘lembukan’ kami yang pegang prinsip, tanya aktivis mahasiswa


Zaim Ibrahim

Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden UIAM mencetuskan kecaman banyak pihak termasuklah aktivis pelajar, pembangkang dan rakan politik dalam Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 September, 2018.

AKTIVIS mahasiswa mempersoalkan sikap seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menggelar mereka “lembu” kerana aksi protes membantah pelantikan Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebagai presiden universiti itu.

Pensyarah yang sama bagaimanapun tidak pula bersuara apabila ahli akademik diperalatkan oleh kerajaan dan ahli politik selama ini, kata Asheeq Ali Sethi Alivi, jurucakap Gabungan Pembebasan Akademik IPT.

“Kenapa kau lembukan kami yang pegang prinsip? Kenapa tak lembukan pensyarah yang sekadar ikut kehendak politik dan Kementerian Pendidikan?

“Kenapa tak lembukan ahli-ahli politik yang ikut kehendak politik masing-masing,” kata Asheeq, yang juga pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kepada The Malaysian Insight.

Asheeq mengulas kenyataan Abdul Naser Abdul Rahman, pensyarah pemikiran kritis di UIAM, menggelar aktivis mahasiswa yang mengadakan tunjuk perasaan membantah pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM di pejabat Kementerian Pendidikan pada Jumaat lepas sebagai “lembu”.

Nasir sebelum ini pernah terseret dalam kontroversi melibatkan Maszlee berhubung kenyataan menteri itu bahawa orang Melayu tidak boleh hidup tanpa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam rakaman klip video di YouTube pada 2014.

Dalam satu komen di Facebook pada Sabtu bertajuk “Jangan Jadi Lemboo Protes Demo”, Abdul Naser menyifatkan tindakan protes itu sebagai aksi yang mengikut emosi dan bukannya budaya kritikal yang sihat.

“Buatlah debat falsafi di universiti dan gunalah speaker’s corner (sudut pidato),” tulis Abdul Naser, yang juga mendakwa mahasiswa terlibat tidak faham makna politik dan falsafah autonomi universiti.

“Protes itu sendiri adalah menunjuk perasaan, jadi memang kami beremosi. Saya tak rasa kalau berada di depan Kementerian Pendidikan, kami tiada perasaan. Memang kami marah,” kata Asheeq.

“Jika beliau kata tentang pentas debat, di mana pentasnya? Kalau pensyarah sendiri menglembukan orang yang duduk depan kementerian, apa jaminan dia untuk tidak menglembukan kita apabila kita hentam Maszlee di sudut pidato?” tanyanya pula.

Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden UIAM menimbulkan kecaman banyak pihak yang melihatnya mungkir janji memberikan lebih autonomi kepada universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Dalam satu lagi kenyataan berikutnya semalam, Abdul Naser mengundang semua aktivis yang terlibat dalam bantahan pada Jumaat itu untuk berdebat dengan beliau di UIAM.

Asheeq yang ditanya mengenai pelawaan tersebut berkata beliau bersedia untuk berdebat dengan pensyarah itu.

Awal pagi Sabtu, Asheeq, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pagar masuk utama Parcel E, yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.

Asheeq dan Nurizzah dibebaskan selepas ditahan hampir enam jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Ketika Dr Maszlee Malik jadi pensyarah, beliau meminta pelajar menegurnya jika beliau buat salah, dan itulah yang sedang dilakukan pelajar sekarang, kata Asheeq Ali Sethi Alivi. Beliau dan Nurizzah Mohamad Tazali (kiri) ditahan polis Sabtu lepas kerana melakukan protes.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 September, 2018.

Menurut Asheeq, apa yang beliau dan rakan-rakan mahasiswa dari beberapa universiti itu lakukan adalah sebagai menyahut seruan Maszlee semasa beliau jadi pensyarah dulu, supaya menegur beliau jika ada berbuat salah.

“Sekarang ini, kita tengah buat itulah. Kita tegur beliau sebagai tanda sayang,” katanya.

Asheeq dan mahasiswa terlibat sebelum ini mendakwa Maszlee tidak menjawab isu yang mereka bangkitkan berhubung pelantikannya sebagai presiden UIAM, sebaliknya cuba mengalihkan isu kepada penangkapan mereka awal pagi Sabtu. – 11 September, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen