MEMPERTIKAIKAN hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu sama dengan mempersoalkan kewibawaan Raja-Raja Melayu, kata Presiden Perkasa, Ibrahim Ali.
Ibrahim berkata mereka yang memberi komen negatif dan mengkritik pelaksanaan hukuman itu tidak memahami hukum Islam, terutamanya golongan Melayu liberal dan juga bukan Islam.
“Sepatutnya tidak menjadi kecoh. Yang kecoh orang yang tidak faham dengan perkara yang berkaitan dengan hukum Islam. Mereka ini tidak arif.
“Orang Melayu liberal apatah lagi bukan Islam jangan gelojoh dan tidak (beri) respons dalam keadaan emosi.
“Kita semua tahu soal sebatan ini di bawah Duli Sultan dan Raja-Raja Melayu. Hukuman sebatan ini mendapat restu daripada sultan. Bila kita mencabar, kita mempersoalkan kewibaan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam sidang media di pejabat Perkasa Kuala Lumpur, hari ini.

Isnin lalu, dua wanita menjalani hukuman enam sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah mengaku salah atas dakwaan cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta pada April lalu.
Hukuman tersebut mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk kabinet yang bermesyuarat pada Rabu, yang memutuskan hukuman tersebut tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa dalam agama Islam.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata hukuman tersebut bukan cara yang digalakkan oleh Islam dan adalah penting menunjukkan Islam sebagai agama yang bukan bengis yang suka menjatuhkan hukuman berat sehingga mengaibkan seseorang.
Menurut bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu, kumpulan penentang ini hipokrit apabila tidak membantah hukuman sebatan yang terkandung dalam hukuman sivil yang lebih menyakitkan.
Malah beliau mendesak supaya kerajaan Persekutuan tidak memberi reaksi secara tergesa-gesa dan memberi respons mengikut prosedur yang betul supaya tidak menimbulkan konflik dengan kerajaan negeri dan badan kehakiman.
“Kabinet tidak perlu reaksi secara tiba-tiba. Dari segi undang-undang, kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan agama di negeri. Mereka boleh bawa ke Majlis Raja-Raja.
“Cara mereka komen macam curah minyak dalam sekam. Prejudis terhadap Islam terlalu tinggi.
“Mereka bernasib baik orang Melayu Islam yang memahami hukum Islam dapat mengawal perasaan, tidak bertindak balas dengan cara yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya. – 7 September, 2018.
Komen