Kerjasama Umno-PAS dulu sorok-sorok, sekarang sudah terbuka, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

PAS dan Umno akhirnya masing-masing menyatakan sokongan untuk bergabung.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2018.

KERJASAMA Umno dan PAS sudah bukan rahsia lagi, tidak lagi dibuat secara sembunyi-sembunyi seperti sebelum ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa, sebelum ini kedua-dua parti tersebut bekerjasama secara tersembunyi.

“Itu sudah menjadi kenyataan, dulu dia (Pas dan Umno) kerjasama dalam bilik sahaja, kali ini dia dah keluar daripada bilik.

“Masa dia dalam bilik pun kita sudah tahu juga (tentang kewujudan kerjasama),” kata beliau ketika sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, disini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu akan membentuk gagasan baharu dengan PAS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Berucap ketika di pentas PAS dalam kempen Pilihan Raya Kecil Seri Setia, beliau meminta ahli PAS supaya memberi ruang kepada Umno untuk membuktikan keikhlasan.

“Ini sejarah baru yang kita akan ukir. Beri peluang kepada kami untuk membuktikan. Di sini kita bermula, kita akan terjemahkan kerjasama yang erat ini,” katanya.

Ketua DPPM Khalil Abdul Hadi menegaskan kerjasama antara PAS dan UMNO akan berterusan menjelang PRU-15.– Gambar fail The Malaysian Insight,7 September, 2018.

Ketua Dewan Pemuda PAS (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi juga menegaskan, kerjasama itu bukan hanya membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebaliknya dijangka berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki juga berkata, bentuk kerjasama tersebut akan diputuskan dalam muktamar parti Islam itu di Kuala Terengganu hujung minggu depan.

Dalam PRK DUN Sungai Kandis, PAS berkempen untuk calon Umno manakala di DUN Seri Setia yang akan mengundi hujung minggu ini, Umno berkempen untuk calon PAS.

Ketika PRK di DUN Balakong, PAS secara terbuka menyatakan sokongan kepada MCA malah Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan muncul dalam ceramah MCA ketika berkempen.

“Terdapat 56 kerusi di Selangor, PH memenangi 51 kerusi, Umno empat dan PAS hanya satu kerusi pada PRU 14 lepas. Hanya lima kerusi dimenangi oleh pembangkang. Perkara ini tidak sihat.

“Wakil pembangkang tidak cukup untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan. MCA akan menjadi satu blok pembangkang yag baik dan efektif.

“Undilah untuk pembangkang, undilah untuk MCA Sabtu ini,” kata Takiyuddin ketika menyampaikan ceramah.

Satu kajian daripada Ilham Centre mendapati, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya berupaya mempertahankan kuasa selama satu penggal jika 11% daripada jumlah undi Melayu yang diterima pada PRU-14 lalu berpaling kepada Umno, dedah satu kajian.

Dalam PRU14, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno mendapat 45% sokongan Melayu di Semenanjung Malaysia manakala PAS 32% dan PH hanya 23%.

Dalam kajian tersebut, kebanyakan masyarakat Melayu iaitu sebanyak 16%  mengutamakan “melindungi orang Melayu dan Islam” bagi memilih kerajaan.

Ia mengatasi perkara seperti usaha menghapuskan rasuah dan membersihkan kerajaan (10%), kos sara hidup (32%), memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya (20%) dan meningkatkan ekonomi (18%).–7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen