Kerjasama PAS-Umno akan ditentukan muktamar minggu depan


SM Amin

BENTUK kerjasama PAS dengan Umno akan diputuskan dalam muktamar parti Islam itu di Kuala Terengganu hujung minggu depan, kata Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki.

Katanya, PAS akan mendengar pandangan perwakilan mengenai bentuk kerjasama yang mereka mahukan, antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia itu, sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Jelas Zuhdi, setakat ini kerjasama PAS dengan Umno atau mana-mana pihak masih lagi atas isu-isu melibatkan kepentingan Islam dan Melayu, seperti yang dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.

“Sama ada selepas ini akan ada kerjasama (dengan Umno) yang lebih terikat ataupun kerjasama dalam bentuk gabungan, itu akan ditentukan dalam muktamar akan datang.

“Kemudian kata akhirnya (diputuskan oleh) Majlis Syura juga,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Kerjasama PAS dan Umno jadi perhatian selepas dua parti itu dilihat semakin akrab terutama dalam dua pilihan raya kecil di Selangor yang berlangsung dalam tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, PAS berkempen untuk calon Umno manakala di DUN Seri Setia yang akan mengundi hujung minggu ini, Umno berkempen untuk calon PAS.

Pada 31 Ogos lepas, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi pentas dalam sebuah ceramah di Seri Setia.

Perlembagaan PAS meletakkan Majlis Syura Ulama parti itu sebagai badan pembuat dasar yang tertinggi, diketuai Mursyidul Am Hashim Jasin. Majlis Syura misalnya dahulu menentukan keputusan kerjasama antara PAS dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, gabungan yang kini menjelma sebagai Pakatan Harapan.

Sementara itu, seorang Ahli Majlis Syura Ulama Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, inilah masa yang paling sesuai untuk dua parti Melayu Islam itu bersama-sama selepas masing-masing “gagal mempertahankan diri”.

“Sebagaimana Umno gagal mempertahankan dirinya, PAS juga gagal mempertahankan dirinya dalam Pakatan Rakyat. Ini dua parti yang gagal sebab itu hari ini kita duduk sekali,” katanya.

Sejak kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu, Umno didesak dari dalam dan luar parti untuk menjalin kerjasama dengan PAS, selepas undi Melayu beralih kepada PH.

Desakan sama dibuat bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad yang  menggesa dua parti itu supaya tidak bergerak bersendirian sekiranya mahu dapat keputusan lebih baik pada pilihan raya umum akan datang.

Ilham Center dalam kajiannya selepas PRU14 merumuskan PH akan jadi kerajaan satu penggal sekiranya 11% undi Melayu yang diraihnya pada pilihan raya umum lepas berpaling kepada Umno.

Kajian itu juga mendapati walaupun menang PRU14 dan membentuk kerajaan, PH mendapat peratusan undi Melayu paling sedikit, selepas Umno dan PAS.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, inilah masa yang paling sesuai untuk dua parti Melayu Islam itu bersama-sama selepas masing-masing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2018

Dalam PRU14, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno mendapat 45% sokongan Melayu di Semenanjung Malaysia manakala PAS 32% dan PH hanya 23%.

PAS menang dua negeri di pantai timur – Kelantan dan Terengganu – serta memecah masuk ke beberapa kawasan di Pahang, sementara PH menunjukkan prestasi yang buruk di pantai timur serta beberapa kawasan tumpuan Melayu.

Muktamar Tahunan Pas Pusat di Terengganu akan berlangsung selama tiga hari antara 14 hingga 16 September, dua minggu sebelum Umno mengadakan perhimpunan agung di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 September. – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen