Putrajaya akan siasat Shafee juga nanti, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Shafee Abdullah at the Sessions Court today. – The Malaysian Insight pic by Seth Akmal, July 4, 2018.

PUTRAJAYA akan menyiasat dakwaan bahawa peguam Muhammad Shafee Abdullah dibayar oleh bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendakwa Anwar Ibrahim.

Semua tuduhan terhadap Shafee akan disiasat juga nanti kerana terdapat isu yang lebih utama melibatkan Najib, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Ada banyak pertuduhan terhadap Najib. Banyak kesalahan yang beliau lakukan. Tetapi kita terpaksa pilih yang mana harus diuruskan dulu.

“Sudah ada banyak pertuduhan terhadap beliau. Saya yakin, masanya akan tiba, sebab siasatan mengambil masa kerana kita tak selalu dapat kerjasama penuh dari orang yang tahu mengenai fakta atau dokumen untuk menyokong tuduhan,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya hari ini.

Perdana menteri diminta mengulas sama ada Putrajaya akan memulakan siasatan terhadap dakwaan bahawa Shafee menerima RM9.5 juta dari Najib untuk mendakwa Anwar.

Semua tuduhan terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah akan disiasat juga nanti kerana terdapat isu yang lebih utama melibatkan Najib, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 September, 2018.

Semalam, Anwar berkata afidavit Jabatan Peguam Negara mengesahkan dakwaan beliau bahawa peguam Umno itu menerima bayaran RM9.5 juta selepas mendakwanya.

Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak membayar Shafee bermula September 2013 hingga Februari 2014 apabila peguam itu dilantik sebagai pendakwaraya khas dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar bermula Julai 2013 hingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

“Afidavit tersebut sedang disebarluas (kepada umum). Saya percaya dalam Malaysia Baharu ini kita tidak boleh berkompromi dalam komitmen kita terhadap kedaulatan undang-undang dan mengembalikan kredibiliti institusi kehakiman serta para peguam.

“Salah guna kuasa seperti ini tidak patut dibenarkan berterusan, dan mesti ada kebertanggungjawapan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Anwar berkata peguamnya menyerahkan afidavit yang ditandatangani pegawai Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan dakwaan pembayaran yang dibuat kepada Shafee.

“Saya mengulangi bahawa Shafee tidak patut dibenarkan bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan tersebut.” – 7 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen