ANWAR Ibrahim mahu tindakan diambil terhadap Muhammad Shafee Abdullah apabila afidavit Jabatan Peguam Negara mengesahkan dakwaan beliau bahawa peguam Umno itu menerima bayaran RM9.5 juta dalam perbicaraan kes rayuan sodomi.
Presiden PKR itu mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak membayar Shafee bermula September 2013 hingga Februari 2014 apabila peguam itu dilantik sebagai pendakwaraya khas dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar bermula Julai 2013 hingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.
“Afidavit tersebut sedang disebarluas (kepada umum). Saya percaya dalam Malaysia Baharu ini kita tidak boleh berkompromi dalam komitmen kita terhadap kedaulatan undang-undang dan mengembalikan kredibiliti institusi kehakiman serta para peguam.
“Salah guna kuasa seperti ini tidak patut dibenarkan berterusan, dan mesti ada kebertanggungjawapan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Anwar berkata peguamnya menyerahkan afidavit yang ditandatangani pegawai Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan dakwaan pembayaran yang dibuat kepada Shafee.
“Saya mengulangi bahawa Shafee tidak patut dibenarkan bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan tersebut.

Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi Peguam Negara, dan lebih ganjil lagi bila yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib, yang terlibat secara material di dalam kes tersebut,” kata Anwar.
Beliau berkata Shafee juga menjadi saksi kejadian konspirasi terhadap dirinya yang berlaku di dalam kehadiran Najib, yang membuatkan kedua-dua pihak ini berkemungkinan menjadi saksi.
“Bila masa Shafee menerima RM 9.5 juta dari akaun peribadi Najib sewaktu beliau bertugas sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes saya menghancurkan kredibiliti beliau sebagai seorang agen Jabatan Peguam Negara yang tidak berat sebelah,” katanya.
Anwar turut meminta pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi negara untuk mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan agar rakyat Malaysia malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan negara ini.
Shafee kini merupakan peguam Najib bagi beberapa kes penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram yang didakwa ke atas bekas perdana menteri itu.
Najib bagaimanapun tidak mengaku salah atas kesemua dakwaan tersebut.
Peguam Negara Tommy Thomas turut melantik pendakwa raya khas iaitu Sulaiman Abdullah dan bekas hakim Gopal Sri Ram untuk mengendalikan kes Najib. – 6 September, 2018.
Komen