Tiada niat burukkan sesiapa, kata Hishamuddin Rais


Nabihah Hamid

Aktivis politik Hishamuddin Rais pada sesi temu bual bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

TULISAN berhubung konflik semasa pembentukan kerajaan Pakatan Harapan adalah rakaman perkara benar dan tidak bertujuan memburukkan sesiapa, kata aktivis politik Hishamuddin Rais.

Beliau mempertahankan siri tulisannya yang antara lain mendedahkan bantahan presiden PKR waktu itu Dr Wan Azizah Wan Ismail ke atas pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Bekas aktivis pelajar itu juga mendakwa, Dr Wan Azizah pada saat genting pada Mei lalu bertegas agar naib presiden PKR Rafizi Ramli dilantik ke jawatan menteri kanan tersebut.

Jelasnya, Wan Azizah juga waktu itu mahu agar ketua umum Anwar Ibrahim dan Rafizi mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu bagi membolehkan kedua-duanya aktif dalam politik dan menyertai kerajaan, 

“Saya tidak niat untuk memburukkan (Wan Azizah). Apabila Wan Azizah berkata bahawa kita tangguhkan (pelantikan kabinet) dua minggu. Mahathir kata kenapa? Kita lantik Rafizi (Ramli).

“Ampunkan Anwar (Ibrahim) dan Rafizi. Itu yang saya difahamkan. Jadi tidak ada niat kalau saya burukkan (Wan Azizah),” katanya lagi.

Tulisan Hishamuddin mendedahkan bantahan presiden PKR waktu itu Dr Wan Azizah Wan Ismail ke atas pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2018 

Ketika Pakatan Harapan menang pilihan raya Mei, Anwar masih tidak dapat bertanding dalam pilihan raya.

Anwar masih menjalani hukuman penjara waktu itu setelah didapati bersalah kes liwat dan hanya akan dibebaskan pada 8 Jun. 

Beliau mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei.

Rafizi pula tidak bertanding pilihan raya 9 Mei kerana dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan sejak Februari lalu kerana didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan.

Ia ekoran pendedahan penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation pada Mac 2012.

Mengulas lanjut, Hishamuddin mengakui beliau tidak berada sewaktu kejadian namun menegaskan beliau mendapat berita daripada sumber yang sahih.

“Ada perkara walaupun saya tidak bersama-sama tetapi saya tidak jauh dari orang yang ambil bahagian dalam babak-babak itu. Dan saya mendapat sumber-sumber yang sahih,” katanya.

 Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata artikel penulisan beliau tidak bertujuan untuk memburuk-burukkan sesiapa.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2018

Beliau menjawab kenyataan Anwar yang menyifatkan tulisannya itu hanya berdasarkan daripada “bisikan” pihak tertentu dan tidak bersandarkan sumber yang terlibat secara langsung dengan kes itu.

Tambahnya, beliau bertanggungjawab menjawab persoalan yang berbangkit berhubung pembentukan kerajaan itu agar

“Ini rasa tanggungjawab saya melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia saya bertanggungjawab kepada bangsa dan agama untuk merakamkan perkara ini. 

“Kalau ini (jadi) satu kesalahan, maka nampak Pakatan Harapan ini tiada bezanya dengan kerajaan yang lalu,” katanya.

Siri tulisannya itu disiarkan portal Malaysiakini. – 7 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tulisan biarlah berfaedah dan bermatlamat. Jangan tulis memburukkan keadaan

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mohd ali · Ulasan