Tulisan saya fakta bukan ‘bisikan’, kata Hishamuddin Rais kepada Anwar


Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata tulisannya menceritakan sebenar mengapa proses pembentukan kerajaan Pakatan Harapan lewat dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018.

AKTIVIS politik Hishamuddin Rais mempertahankan siri tulisannya yang mendedahkan tarik tali politik dalam pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pelantikan Kabinet selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Katanya, beliau menulis episod itu berdasarkan fakta dan bukannya “bisikan” seperti yang didakwa bakal presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Jelas Hishamuddin, tulisannya itu menceritakan kisah yang berlaku di sebalik tabir, yang tidak diketahui umum mengapa proses pembentukan kerajaan PH lewat dibuat.

“Apa yang saya tulis ialah menerangkan fakta-fakta di belakang tabir yang melahirkan berita-berita ini. Saya melakar peta dan mencantumkan berita dan babak ini. Saya ikat berita ini dengan babak-babak latar yang tidak diketahui umum,” katanya dalam satu kenyataan media.

Hishamuddin menulis siri bertajuk “Merakam Sejarah” itu di portal Malaysiakini.

Anwar adalah pemimpin PH pertama memberikan reaksi terbuka terhadap siri tulisan Hishamuddin, yang tersiar sejak 18 Julai lepas dan kini masuk bab yang keenam.

Menurut Hishamuddin, apa yang beliau tulis itu adalah lanjutan daripada laporan media mengenai kelewatan istiadat angkat sumpah perdana menteri pada 10 Mei serta pengumuman Dr Mahathir Mohamad melantik Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri kanan dua hari kemudian.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kemudian dalam satu kenyataan beberapa jam selepas pengumuman lantikan tiga menteri itu menolak pengumuman Lim sebagai menteri kewangan.

“Justeru, saya memberi pencerahan kepada orang ramai kenapa angkat sumpah lambat. Kenapa Rafizi mengeluarkan kenyataan menolak lantikan Dr Mahathir. Atau kenapa tidak dilihat muka Wan Azizah pada Sabtu 12 Mei 2018.

“Saya jelaskan di sini. Apa yang telah saya tulis itu adalah fakta. Saya tahu apa yang saya tulis. Ia bukan rekaan. Ia bukan desas bin desus. Ia bukan cerita tepi jalan. Ia bukan bisikan sesiapa pun,” tambah Hishamuddin.

Semalam, Anwar mendakwa Hishamuddin hanya mendengar “bisikan” daripada pihak tertentu apabila beliau menulis kononnya ada gerakan mahu menghalang Dr Mahathir daripada dilantik sebagai perdana menteri.

Pengumuman Dr Mahathir Mohamad melantik Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Muhyiddin Yassin turut ditulis oleh aktivis politik Hishamuddin Rais. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018.

“Dia (Hishamuddin) ahli cereka. Jadi dia ada tafsiran sendiri dia dengar, dia tidak ada sumber terus. Dia hanya dengar-dengar bisikan tetapi bisikan itu tengoklah daripada siapa, sokong tidak sokong,” kata Anwar.

Hishamuddin menjelaskan beliau tiada niat lain melalui tulisan-tulisannya itu selain daripada “merakam sejarah” dan “berlaku jujur kepada diri sendiri” dengan menulis apa yang beliau lihat dan dengar.

Katanya, beliau sendiri tidak kisah siapa yang jadi perdana menteri kerana pemimpin datang dan pergi sebaliknya “merakam sejarah” untuk mempertahankan demokrasi dalam agenda Malaysia Baru.

“Anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia wajib sedar bahawa kemenangan ruang demokrasi 9 Mei 2018 ini boleh hilang lenyap dalam sekelip mata,” katanya, merujuk pada apa yang pernah berlaku di Filipina dan Indonesia.

Beliau menyebut ruang demokrasi itu kini terancam kerana ada “sosok-sosok yang gopoh lagi gelojoh untuk memiliki kuasa.”

Mereka itu, katanya, berebut untuk dapat kuasa dan “bukan bangun mempertahan agenda reform dan ruang demokrasi tetapi untuk mensabotaj agenda reform dan kembali kepada Malaysia lama yang feudal.” – 2 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen