WARGA asing boleh membeli hartanah di Forest City tetapi kerajaan tidak akan memberikan mereka visa untuk menetap di negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Mereka boleh beli hartanah itu tapi kita tak akan beri visa untuk datang dan tinggal di sini,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-60 Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, malam ini.
Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan kerajaan ingin menilai semula projek pembangunan Forest City di Johor kerana terma penjualan unit kediamannya didapati tidak menguntungkan negara.
Menurut Azmin, urusan pembelian hartanah di kawasan pembangunan di Johor itu tidak sepenuhnya dilakukan di dalam negara.
“Mereka (kerajaan China) mempunyai satu program khas, jika melabur dengan jumlah tertentu di negara tersebut, anda akan diberikan unit di Forest City.
“Sudah pastilah kita tidak boleh membenarkannya kerana mereka bayar cukai di China, transaksinya dilakukan di China.
“Ia tidak memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara, Sabtu lalu.
Kerajaan bagaimanapun, kata Azmin, komited memastikan semua pelaburan China ke Malaysia memberi nilai tambah kepada rakyat dan negara.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Osman Sapian menyifatkan maklumat tidak tepat dalam laporan media menimbulkan salah faham kepada sesetengah pihak mengenai projek berkenaan di negeri itu.
Beliau turut berkata selain isu-isu ini, terdapat juga dakwaan daripada segelintir pihak mengatakan projek Forest City akan menyebabkan seramai 700,000 warga China tinggal di Johor.
“Anggaran ini sebenarnya tidak merujuk kepada warga asing sahaja. Ia juga terdiri daripada penduduk tempatan, pelancong, golongan profesional dan korporat, pelajar dan pekerja asing. Bukan rakyat China semata-mata.
“Dan anggaran juga berdasarkan projek yang akan disiapkan dalam masa 30 tahun,” katanya.
Oleh yang demikian, katanya, adalah tidak benar bahawa transaksi pembelian hartanah Forest City hanya berlaku di luar Malaysia sehingga menyebabkan dananya tidak dibawa masuk ke dalam negara.
Pembeli dari China dilaporkan mencakupi kira-kira dua pertiga daripada unit hartanah di Forest City yang terjual setakat ini, dengan satu perlima lagi dari Malaysia manakala bakinya dari negara lain termasuk Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan. – 4 September, 2018
Komen