Kembalikan semangat asal ali baba, kata Majlis Perundingan Melayu


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara memberi amaran kerajaan akan membatalkan kontrak, lesen atau permit kepada Melayu dan Bumiputera sekiranya ia diberikan kepada orang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

EKONOMI Malaysia cukup besar untuk memberi manfaat dan menyatukan semua kaum sekiranya ada kerjasama antara kaum dalam perekonomian, kata Majlis Perunding Melayu (MPM), tetapi usahawan dan peniaga Melayu perlu mengubah nilai dan etika sehingga mereka dihormati oleh orang lain.

Nilai dan moral yang terhakis dalam sesetengah usahawan dan peniaga Melayu menyebabkan mereka dipandang rendah oleh orang lain, kata setiausaha agungnya Hasan Mad.

“Sekarang ini bukan Melayu tengok orang Melayu berniaga, dia sudah syak sesuatu. Takut orang Melayu minta macam-macam tetapi sumbangan dalam perniagaan tidak ke mana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kerjasama ekonomi seharusnya jadi alat untuk memupuk perpaduan dan konsep perkongsian ali baba harus dikembalikan kepada semangatnya yang asal dan bukannya lagi pengertian sekarang yang disalah tafsir kononnya cara mudah untuk untung atas angin.

“Apa lagi platform perpaduan sekarang? Pendidikan? Anda rasa pendidikan sekarang ini dengan sekolah pelbagai alirannya boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum? Politik? Lagi jauh dari realiti.

“Ekonomi ini sangat meluas dan kalau digunakan dengan cara yang betul ia boleh jadi instrumen perpaduan,” katanya.

Nilai dan moral yang terhakis dalam sesetengah usahawan dan peniaga Melayu menyebabkan mereka dipandang rendah oleh orang lain, kata Setiausaha Agung MPM Hasan Mad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara pada Sabtu lalu mendengar cadangan kerajaan mahu menjadikan ali baba sebagai jenayah kerana ia dianggap sabotaj kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa merasmikan kongres sehari itu memberi amaran kerajaan akan membatalkan kontrak, lesen atau permit kepada Melayu dan bumiputera sekiranya ia diberikan kepada orang lain.

Pada sesi kemudian, Pengerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed berkata Malaysia perlu ada undang-undang khas untuk menghukum mereka yang melakukan sabotaj ekonomi melalui konsep ali baba, baik yang memberi mahupun yang menerima.

Beliau juga mendedahkan RM51.8 juta tiris daripada RM1.8 bilion nilai projek untuk bumiputera antaranya kerana amalan ali baba.

Hasan berkata konsep ali baba melencong daripada matlamat asalnya apabila usahawan dan peniaga Melayu menjual atau memajak kontrak, lesen atau permit yang mereka dapat daripada kerajaan kepada pengusaha lain manakala yang bukan Melayu pula mengambil kesempatan kerana memiliki keupayaan termasuk modal yang besar.

“Kita perlu tingkatkan nilai kita, perbetulkan kesilapan sebelum ini supaya bukan Melayu boleh hormat kepada kita dan bekerjasama dengan kita,” katanya, merujuk kepada konsep ali baba yang bermula di Indonesia.

Konsep ali baba dimulakan oleh menteri perekonomian Indonesia Iskak Tjokroadisurjo pada awal 1950-an dengan tujuan meningkatkan penglibatan rakyat republik yang baru merdeka itu dalam ekonomi yang diwarisi daripada Belanda.

Dalam sistem itu, masyarakat peribumi diberi peluang bekerjasama dengan masyarakat bukan peribumi untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara, sementara kerajaan juga memberi perlindungan kepada peribumi untuk bersaing dengan perusahaan bukan peribumi yang jauh lebih berkemampuan dan berpengalaman.

“Semangat sebenar ali baba yang dibawa oleh nenek moyang kita itu sangat mulia dan jujur. Kita perlu hormat idea asal ali baba itu.

“Yang merosakkannya generasi sekarang. Dua-dua pihak Melayu dan bukan Melayu salah guna konsep asal ali baba itu sendiri,” katanya. – 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Podah la with these fantastical idealisations.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Robert Cheok · Ulasan