BEBERAPA pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang melepas dan membebaskan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah ke atasnya, dan mendakwa lagsung tidak tahu menahu mengenainya.
“Sangat kecewa, tiada apa lagi yang hendak dikatakan,” kata seorang pegawai SPRM.
“Saya terlalu letih untuk ulas mengenai keputusan itu, saya tak mahu bercakap mengenainya,” kata seorang lagi pegawai.
Reaksi kedua-dua pegawai itu menyusul kenyataan SPRM pagi tadi yang menyatakan rasa terkejut dengan keputusan mahkamah yang membebaskan Lim berhubung pembelian sebuah banglo dari pemilik asal, Phang Li Khoon, yang turut dilepas dan dibebaskan dari tuduhan.
“SPRM terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membebaskan Lim daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah banglo daripada bekas pemilik rumah Phang Li Khoon.
“SPRM mahu menekankan bahawa keputusan menarik balik kes itu dibuat oleh peguam negara, bukannya SPRM,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Peguam Lim, Ramkarpal Singh kemudian menyifatkan kenyataan SPRM itu tidak masuk akal kerana ia tidak mengetahui perkembangan kes rasuah menteri kewangan itu.
“Adalah tidak masuk bahawa SPRM tidak mengetahui perkembangan hari ini apabila pengarah bahagian perundangan agensi itu, Mohd Masri Daud memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik semula pendakwaan tersebut.
“Saya berada di mahkamah pada pagi ini bersama peguam lain untuk kedua-dua tertuduh dan tiada sebarang tanda tidak puas hati daripada Masri atau pihaknya yang mencerminkan kenyataan SPRM,” katanya Ramkarpal dalam satu kenyataan.
Lim dituduh melakukan rasuah kerana membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang pada harga RM2.8 juta pada 28 Julai 2015 daripada Phang, ketika nilai pasaran menyatakan harganya pada RM4.27 juta.
Phang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Lim pada 28 Julai tahun lepas berhubung pembelian banglo itu. Beliau menghadapi hukuman yang sama di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah.
Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem untuk menukar status tanah pertanian kepada kediaman semasa mesyuarat jawatankuasa perancang negeri pada 18 Julai, 2014 – satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – 3 September, 2018.
Komen