PEGUAM Lim Guan Eng, Ramkarpal Singh menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengetahui perkembangan kes rasuah menteri kewangan itu sebagai ‘tidak masuk akal’.
Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan dakwaan terhadap Guan Eng berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn di bawah harga pasaran.
Hakim Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwa raya memaklumkan mahkamah untuk tidak meneruskan kes itu.
“Adalah tidak masuk bahawa SPRM tidak mengetahui perkembangan hari ini apabila pengarah bahagian perundangan agensi itu, Mohd Masri Daud memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik semula pendakwaan tersebut.
“Saya berada di mahkamah pada pagi ini bersama peguam lain untuk kedua-dua tertuduh dan tiada sebarang tanda tidak puas hati daripada Masri atau pihaknya yang mencerminkan kenyataan SPRM,” katanya Ramkarpal dalam satu kenyataan.
Selepas berita mengenai pengguguran kes Guan Eng dan bekas pemilik banglo, Phang Li Khoon, SPRM mengeluarkan kenyataan untuk melahirkan rasa terkejut berhubung perkembangan kes itu.
Ramkarpal, yang juga merupakan ahli Parlimen Bukit Gelugor dan pengerusi biro perundangan DAP pusat terkejut dengan kenyataan SPRM itu.
Katanya, kenyataan agensi itu mendakwa Masri yang mengetuai pendakwaan kes, tidak mengetahui keputusan Peguam Negara untuk menggugurkan kes tersebut.
“Masri perlu tampil untuk memberi penjelasan dan membuat pengesahan berhubung perkara itu.”
Ramkarpal berkata dalam kes Guan Eng dan Li Khoon, kedua-dua tertuduh mengemukakan dokumen lengkap kepada Peguam Negara bagi menyatakan sebab dakwaan terhadap mereka perlu digugurkan.
“Hakim yang dimaklumkan tentang perkara itu menggunakan kuasanya untuk mengarahkan pengguguran kes.
“Tiada kesilapan yang dilakukan hakim, lebih-lebih lagi apabila pihak pendakwa raya sendiri yang tidak mahu meneruskan pendakwaan.” katanya.
Berita penuh di sini.
Komen