JANGANLAH dibantah-bantah lagi; Khairy Jamaluddin mesti jadi presiden partinya sendiri. Sebelum anda mencebik dan mentertawakan si Khairy, mari saya surahkan dalil-dalil dan kaifiyat mengenai hal ini serta fadilatnya secara umum bagi masyarakat Malaysia.
Kita mulakan penceritaan dengan strategi pemasaran restoran terkemuka tanah air (mungkin lah). Tidak lain tidak bukan, McDonald’s.
McDonald’s sudah tidak lagi menjual burger Mexicana. Entah kenapa, saya suka betul burger itu. Malangnya, beberapa hari lalu ketika singgah di salah satu cawangannya, burger Mexicana sudah tidak lagi berada di paparan menu. Meski kecewa, saya perasan sesuatu.
McDonald’s suka buat perangai ini. Menawarkan sesuatu yang baharu, namun terhad untuk tempoh tertentu sahaja. Bukan sahaja McDonald’s, banyak lagi restoran lain berbuat perkara serupa.
Bahkan ada pengusaha restoran yang bertindak luar jangka, dengan menutup kedainya setelah hanya beberapa ketika sahaja - sekadar cukup untuk menjadi terkenal, sebelum membuka kedai baharu dengan menu yang juga baharu. Pengusahanya tetap orang yang sama. Perniagaan tetap berjalan seperti biasa.
Relevan
Upaya sebegini dibuat dalam rangka untuk terus kekal relevan dalam pasaran, dan kekal mempunyai pelanggan. Manusia akan sentiasa memerlukan makanan, dan pada masa sama akan turut bosan kalau menunya terus berkekalan zaman berzaman. Justeru pengusaha restoran harus sentiasa berusaha membawa perubahan, tanpa beranjak jauh daripada kumpulan pelanggan terasnya.
Sedar atau tidak, hal yang sama turut terpakai bagi parti-parti politik.
Saya ambil DAP sebagai contoh. Sayap pemudanya, Sosialis Muda DAP (DAPSY) adalah suatu produk dengan audiens terhad. Sebagai sayap perkaderan anggota muda, ia hampir tidak boleh dijual (baca: tidak begitu laku). Namun belum ada upaya daripada DAPSY untuk memasarkan produk baru yang dikilangnya sendiri, bahkan terus sahaja menjual mesej yang sama seperti yang diaturkan pimpinan pusat.
Lebih malang lagi, DAPSY dan DAP kini sedang selesa menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri. Ia justeru tidak banyak berusaha untuk menumpukan perhatian terhadap pertumbuhan parti dan usaha pendidikan politik melampaui akar umbinya. Usahanya mungkin ada, tetapi tidak muncul di radar umum yang tidak menggunakan medium bahasa Mandarin. Sedikit malang di situ.

PAS pula baru sahaja selesai berpecah dan sedang mencari jati diri. Mantan pimpinan dan kader-kader mudanya bersepah di kerajaan pusat, manakala yang kekal dalam parti lama terus tersudut dalam perbalahan siasah-tarbiah yang tidak berkesudahan. Ini justeru melestarikan budaya mengkafir sesama sendiri dan meminggirkan bakat-bakat besar yang akhirnya tercicir dari menyertai mata rantai perjuangannya yang panjang.
PKR sedang bergaduh sesama sendiri. Selagi belum selesai pemilihan partinya, kita andaikan sahaja mereka tidak ada supaya kita sama-sama tidak serabut kepala otak.
Percaya atau tidak, hanya Umno yang boleh menjalani proses ini. Hanya Umno yang sedang berusaha keras mendidik diri menjadi pembangkang dalam rangka mengambil alih kedudukan kuasa kurang lebih lima tahun lagi.
Usaha Umno ini jauh lebih baik berbanding usaha parti-parti komponen Pakatan Harapan mendidik diri menjadi kerajaan. Upaya Umno untuk mereformasi dan mengeluarkan produk baru untuk pasaran pasca PRU14 itu perlu ditunjangi oleh Encik Khairy Jamaluddin.
Parti baharu KJ
Mari kita andaikan Khairy (atau KJ) sedang mengusahakan penubuhan sebuah parti politik baharu. Dan kita andaikan juga beliau sedang menubuhkan parti politik yang memang dikehendaki dan diperlukan oleh negara.
Sekiranya mempunyai keazaman politik yang kuat, KJ boleh menubuhkan sebuah parti berbilang kaum, dengan agenda dan gagasan yang segar; tidak seperti PKR contohnya yang tersangkut dengan agenda Anwar Ibrahim dan gagasan reformasi yang masih tidak bergerak jauh daripada nostalgia 1998.
Parti baharu KJ tidak perlu berangan jauh untuk jadi perdana menteri atau menguasai Parlimen. Ia boleh sahaja menjadi sebuah parti “offshoot”, parti tunas menurut saya; bukan parti serpihan seperti Amanah yang berpecah dan berpatah arang dengan PAS.
Parti KJ masih boleh berindukkan Barisan Nasional (BN), tanpa bermusuh dengan asal-muasalnya tetapi dengan struktur dan nilai-nilai teras yang berbeza. Tidak juga perlu memusuhi Umno, sekadar menjadi parti “muda” tanpa bagasi besar untuk memecahkan hatta tapak sokongan Armada dan PKR, selain bank undi anak muda yang bakal cukup umur layak mengundi dalam tempoh lima tahun lagi.

Bayangkan kemunculan sebuah parti muda, berbilang kaum, tanpa bagasi tokoh-tokoh tua dalam Umno dan BN, segar dengan gagasan yang mengangkat kepentingan pengundi muda, bekerja, penunggang motosikal, pengguna pengangkutan awam, ibu muda, wanita muda yang memilih untuk hidup bujang, mahasiswi (ya, spesifik mahasiswi) yang tidak peduli politik tetapi melihat keterampilan batik ketat seluar singkat “Abah” KJ sehingga mahu dicekik-cekik; serta banyak lagi kelompok sasar yang tenggelam dalam radar kerajaan Pakatan.
Parti KJ boleh jadi parti “niche” untuk golongan “niche”, dan bertanding di kerusi-kerusi yang “niche” dengan populasi pengundi yang mudah “swing”. Johor Bahru misalnya. Atau Lembah Pantai, kalau ada keyakinan diri yang tinggi.
Apabila KJ sudah mula mengorak langkah menumbuhkan parti tunas ini, ramai lagi yang akan berani menubuhkan parti-parti baharu dengan agenda “niche” masing-masing, tanpa bagasi politik dan punya kebebasan struktur yang memberi ruang mengkritik kepimpinan lama walau masih mengekalkan kepercayaan dengan ideologi atau dasar parti induk.
Alangkah bagusnya jika rakyat Malaysia tidak lagi terbatas dengan dua pilihan sahaja pada setiap kali musim pilihan raya. Itu sebenarnya sudah tidak lagi wajar menjadi norma era Malaysia Baharu yang telah dengan jayanya membuktikan bahawa kerajaan boleh berubah dengan aman dan demokrasi sebenarnya boleh berfungsi demi kemaslahatan umat Malaysia.
Alangkah baiknya jika demokrasi yang berfungsi itu digunakan sebaiknya dengan meramaikan lagi suasana parti politik Malaysia dengan kemunculan parti-parti muda.
Bukankah negara ini nanti akhirnya akan diwarisi anak muda belaka? – 3 September, 2018.
* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu
Komen