Pemilihan PKR ujian antara individu dan parti


Nabihah Hamid

Pemilihan PKR yang akan bermula September hingga Oktober ini dinanti-nanti banyak pihak bukan sahaja pertembungan pemimpin utamanya, tetapi ini pemilihan pertama PKR selepas jadi kerajaan yang boleh beri kesan kepada kestabilan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

PEMILIHAN PKR bermula 22 September ini akan jadi ujian siapa lebih penting – parti atau individu, apabila lebih 800,000 ahlinya menentukan sama ada Mohamed Azmin Ali kekal sebagai timbalan presiden atau digantikan dengan Rafizi Ramli.

Rafizi, yang membentuk pasukannya dengan slogan Reformasi 20 Tahun, mencabar Azmin untuk jadi orang nombor dua kepada Anwar Ibrahim yang akan disahkan sebagai presiden baru PKR dalam konvensyen nasional parti itu November ini.

Kempen pasukan Rafizi yang menyerang lawannya sehingga menyeret Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meresahkan banyak pihak, kata penganalisis, sehingga menimbulkan kebimbangan boleh menggugat keutuhan Pakatan Harapan.

Walaupun calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat Abdullah Sani Abdullah Hamid kemudian menarik balik dakwaannya ada pihak cuba menghalang Anwar jadi perdana menteri, kempen pasukan Rafizi yang dilihat menyerang membangkitkan persoalan apakah parti tidak lebih penting berbanding calon yang bertanding.

“Sudah tentu parti lebih penting dalam pemilihan. Keagungan, ketelusan dan kekuatan parti mengatasi segala-galanya.

“Sebab itu pimpinan amat penting untuk memastikan perjalanan parti seperti termaktub dalam perlembagaan itu dan nawaitu bila menubuhkan parti itu tidak lari,” kata calon Naib Presiden Johari Abdul yang menyertai pasukan Rafizi.

Rafizi mengemudi barisan calon yang hampir semuanya tidak ada jawatan dalam kerajaan atau lantikan oleh kerajaan selepas PH menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu dan menguasai Malaysia kecuali lima pentadbiran negeri.

Kem Azmin sebaliknya terdiri kebanyakannya daripada serendah-rendah jawatan sebagai pegawai di pejabat kerajaan sampailah kepada ahli majlis kerajaan negeri, timbalan menteri dan menteri kabinet di Putrajaya.

Perbezaan antara dua kem itu jadi bahan kempen utama dalam siri jelajah pasukan Rafizi ke negeri-negeri pada setiap hujung minggu sejak pengumuman barisannya di Ampang, Selangor 29 Julai lepas.

Kempen agresif Reformasi 20 Tahun diterajui Rafizi Ramli menimbulkan kebimbangan banyak pihak yang ia boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam parti reformasi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

Johari bagaimanapun menjelaskan kempen pasukan Reformasi 20 Tahun itu bukanlah mahu mengangkat individu lebih penting mengatasi parti tetapi sebenarnya menekankan tentang masa depan parti akan lebih terjamin sekiranya Rafizi jadi orang nombor dua Anwar.

“Kalau sekiranya kita ada seorang timbalan presiden yang setiap langkah bergerak sedang acah-acah nak ke depan, saya rasa ini tidak sihat. Sebab itu Rafizi kata dia telus malah jika dia tidak ada jawatan pun dia okay kerana dia nak membina parti.

“Biarlah Anwar memerintah sebagai PM, tetapi bagi dia (Rafizi) peluang untuk mentadbir parti,” katanya.

Johari mengingatkan bahawa Rafizi sudah membuat pengumuman beliau tidak mahu apa-apa jawatan kerajaan kalau menang timbalan presiden sebaliknya menyebut mahu mengetuai koperasi demi kebajikan ahli parti yang banyak berkorban sejak Reformasi 1998.

“Saya tidak ragu-ragu bahawa Rafizi adalah individu terbaik. Walaupun saya jauh lebih tua daripada dia tapi saya menghormati dia sebagai seorang yang saya rasa ada kekuatan bukan saja daripada segi ilmu tapi wadah dan juga inspirasi yang hebat,” tambah Johari.

Kelmarin, Akmal Nasir, calon ketua Pemuda PKR daripada kem Rafizi, mendakwa Azmin tidak serius mahu mengangkat Anwar jadi presiden PKR kerana beliau dilihat teragak membuat keputusan mengenai pencalonannya dalam pemilihan parti.

Kem Azmin Ali pula terdiri daripada mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan, keadaan yang digunakan lawan untuk menentang perjuangan dan ideologi Azmin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2018.

Sementara itu, aktivis reformasi 1998, Badaruddin Ismail meminta ahli PKR di akar umbi memilih dengan bijak individu yang boleh memastikan parti “tidak runtuh dan tenggelam” selepas menang pilihan raya dan jadi kerajaan.

“Dua-dua calon (Azmin dan Rafizi) saya kenal. Masing-masing ada cara mereka.

“Kalau nak ikut pencapaian peribadi, masing-masing ada kelebihan,” katanya.

Tetapi apa yang penting bagi PKR, selepas jadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan sekarang, ialah memilih pemimpin yang akan meneruskan perjuangan reformasi, yang menjadi asas kelahiran parti itu sendiri, jelas Badaruddin.

“Kita kena reform. Perubahan kerajaan adalah satu reform untuk baik pulih apa yang rosak dahulu, baik dari segi undang-undang, hak asasi, penindasan, rasuah dan kronisme,” katanya.

Perubahan yang hendak diteruskan itu bukan saja pentadbiran Malaysia tetapi parti itu sendiri, tambahnya.

 

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, penganalisis sosio politik dari Universiti Malaya, juga melihat walaupun parti lebih utama daripada individu tetapi faktor individu tidak dapat diketepikan kerana calon yang terpilih nanti adalah pimpinan yang akan menentukan masa depan parti.

Katanya, ahli-ahli PKR yang mengundi akan memilih pemimpin yang boleh membawa parti lebih gemilang, yang meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi dan tidak membawa pengaruh buruk yang menjejaskan imej parti sebagai parti reformasi.

“PKR tentu belajar daripada pengalaman Umno yang runtuh kerana faktor presiden (Najib Razak) yang membawa imej negatif sehingga rakyat menolak parti itu,” jelasnya.

Lebih 800,000 ahli PKR akan mengundi secara berperingkat mengikut negeri antara 22 September hingga 28 Oktober ini, bermula di Pulau Pinang dan Kedah sebelum ditutup di Sabah. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen