MOHAMED Azmin Ali dilihat tidak serius dalam mengangkat Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR kerana teragak-agak membuat keputusan bagi menghantar pencalonannya untuk bertanding dalam pemilihan parti, kata calon ketua Pemuda PKR Akmal Nasir.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, tindakan Azmin menghantar borang pencalonannya pada saat-saat akhir juga menunjukkan sikapnya yang tidak serius untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
“Sebab kalau kita ingat pencalonan yang berlaku bulan lepas pun terdapat pertikaian macam mana saudara Azmin boleh terlambat umumkan jawatan mana beliau hendak bertanding
“Perkara itu bagi saya satu tindakan yang tidak bertanggunjawab, kalau betul dia bersama dengan Anwar kena nyatakan dari awal,” katanya pada forum Malaysia Baru: Adakah Reformasi Masih Relevan malam ini di Kuala Lumpur.
Azmin menghantar wakilnya, Amirudin Shari yang merupakan menteri besar Selangor bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan bakal dicabar Rafizi Ramli.
Pasukan Reformasi 20 Tahun yang diketuai Rafizi mula berkempen ke seluruh negara dan menggunakan sentimen Azmin dinaungi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin yang mahu menggagalkan usaha menjadikan Anwar sebagai perdana menteri kelapan.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan Dr Mahathir, malah Azmin turut menyatakan kesetiaannya kepada PKR dalam kempennya.
“Maksudnya, kalau betul-betul kamu nak berganding dengan Anwar dan Azmin, apabila Anwar umum sahaja tanding sebagai presiden terus keluarkan kenyataan sokong dan saya sedia jadi pembantu sebagai yang kedua atau pun apa-apa nomborlah,” kata Akmal.
Forum malam tadi turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas aktivis mahasiswa, Ahmad Shukri Che Ab Razab, yang juga berada dalam pasukan menyokong Rafizi sebagai timbalan presiden.
Akmal bagaimanapun berkata, pasukannya itu sudah “menang” pemilhan kali ini apabila berjaya menjadikan Anwar presiden PKR tanpa dicabar sesiapa.
“Kita sudah menang sebenarnya apabila Anwar menjadi calon tunggal presiden PKR dan beliau akan memimpin parti selepas tamat pemilihan,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata Rafizi adalah wira yang tidak didendang dalam membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, namun tidak mempunyai tempat dalam kerajaan.
“Ini pertandingan dalam parti, kita berbahas dan berbalah tetapi selepas pemilihan kita kena maju ke hadapan.
“Dalam pemilihan ini saya melihat Rafizi sebagai ‘unsung hero’ (wira tak didendang) yang memainkan peranan sangat besar, semuanya ada pengaruh Rafizi. Saya sebagai orang politik nak buat sebegitu rupa pun tak mampu.
“Bagi saya dia jurutera, akauntan, tapi dia tiada peranan dalam kerajaan. Dia perlu ada peranan dalam parti. Saya rasa untuk bawa parti ke depan, peranan Anwar, Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Rafizi sangat besar,” katanya.
Shukri pula berkata, sikap Rafizi yang tegas dalam memperjuangkan keadilan juga tidak berubah sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun kerajaan.
“Kita boleh nampak betapa tegasnya Rafizi, dia yang mula-mula tegur kerajaan dahulu sampai hilang semuanya.
“Begitu juga dia sekarang, dia yang memulakan teguran dalam kerajaan Pakatan Harapan dan bermati-matian nak menangkan kerajaan hari ini.
“Kalau kita jadi dia kita berhenti dan tunggu jawatan…tapi dia tidak, konsisten dengan pendirian, dan penting untuk rakyat nilai,” katanya. – 29 Ogos, 2018.
Komen