SELEPAS empat bulan perdagangan giat berkembang, peniaga mula mempersiapkan diri untuk berdepan kelembapan niaga apabila cukai baharu mula dilaksanakan dan kekurangan tenaga buruh melumpuhkan operasi.
Sentimen juga jatuh apabila Putrajaya mengakui ia tidak boleh membayar tuntutan balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana wang tersebut hilang ketika pentadbiran terdahulu Barisan Nasional (BN).
Kumpulan perusahaan yang ditemui The Malaysian Insight bagaimanapun berkata, terdapat beberapa petanda yang wujud dalam separuh kedua 2018 yang boleh menaikkan kembali sentimen bukan sahaja untuk perusahaan tetapi juga pencari kerja.
Pertama, hampir 100,000 pekerja akan bersara dalam separuh kedua tahun ini, seterusnya berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Kedua, perusahaan kecil dan sederhana menanti-nanti bajet 2009 kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ia bakal menentukan hala tuju dan dasar ekonomi negara untuk tahun depan.
“Kami menjangkakan sentimen akan bertambah baik dalam tempoh suku keempat tahunan selepas bajet dibentangkan,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Malaysia) Michael Kang.
Bajet 2009 akan menyediakan hala tuju lebih jelas seperti mana didamba perusahaan dan ekonomi sejak PH mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Ini akan membantu perusahaan mengalihkan sumber dan modal selaras dengan hala tuju ekonomi ditetapkan kerajaan, kata Kang.
“Pastinya perusahaan akan jadi lebih menarik dan optimis tahun depan, kerana kami akan tambah baik operasi dan kemahiran serta meningkatkan produktiviti.”

Cuti kepenggunaan
Sektor perkhidmatan yang membentuk 55.3% output ekonomi keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sebanyak 6.5% dalam suku kedua tahun ini, menurut data dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM).
“Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan disokong oleh sektor pemborongan dan peruncitan yang mencatatkan pertumbuhan tinggi 7.3% yang didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi,” menurut laporan prestasi ekonomi suku kedua tahunan dikeluarkan DOSM.
Sektor maklumat dan komunikasi juga berkembang sebanyak 8.6% disebabkan peningkatan aktiviti perdagangan semasa PRU14 dan Piala Dunia Fifa 2018, kata jabatan itu.
Peruncit dan pemborong, terutamanya, mendapat banyak manfaat daripada kadar sifat GST yang pada 1 Mei mendorong kenaikan penggunaan isi rumah. Ini terbukti daripada pengiraan DOSM ke atas perbelanjaan penggunaan isi rumah (PFCE) yang naik kepada 8.0%.
“Penggunaan yang lebih tinggi dilihat dalam makanan dan minuman, komunikasi, restoran dan hotel,” kata jabatan itu.

Ramadan dan Hari Raya Aidilfitrin turut menyumbang kepada pertumbuhan kepenggunaan, katanya lagi.
Kang dari SME Malaysia berkata antara Mei dan Ogos, perusahaan menyaksikan peningkatan sehingga 30% tempahan dan jualan disebabkan tiada cukai dikenakan dalam tempoh itu.
“Perniagaan pengeluar juga berkembang kerana peruncit dan peniaga borong mendapatkan barang dari mereka,” kata Kang.
Persatuan SME itu mempunyai 100,000 ahli daripada sejuta SME di seluruh negara. SME mewakili 98% daripada jumlah perusahaan di Malaysia.
Eksport dalam suku kedua juga berkembang sebanyak 8.2% dan dinilaikan pada RM245.0 bilion. Barangan elektrik dan elektronik (E&E) tumbuh sebanyak 9.8% dan merupakan penyumbang utama eksport sebanyak RM90.9 bilion.

Kelembapan bakal tiba
Perusahaan dijangka mengalami kelembapan untuk suku ketiga dan keempat tahun ini selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mula berkuatkuasa 1 September.
Walaupun, SST hanya dikenakan ke atas kira-kira 38% barangan dan perkhidmatan, kategori besar seperti peralatan rumah, komputer dan kereta dijangka berada di bawah kategori dikenakan cukai.
“Pengguna beli apa sahaja yang mereka rasa perlukan pada hujung tahun semasa cuti cukai. Jadi, tempoh selebihnya untuk tahun ini akan menyaksikan jualan berkurangan,” kata Kang.
Koay Chiew Guan daripada kumpulan peniaga Samenta berkata kesan SST kepada kepenggunaan boleh berkurangan sebaik sahaja rakyat memahami sistem cukai baharu itu.
“Masih ada sedikit kekeliruan, misalnya, ada tanggapan yang jika anda baiki kereta, anda akan dikenakan cukai 6%,” kata Koay yang juga presiden Samenta.
“Tetapi hakikatnya 6% hanya dikenakan kepada upah buruh. Sebaik sahaja rakyat faham saya tak rasa SST akan beri kesan banyak kepada jualan.”
Keputusan kerajaan tidak mengembalikan kredit GST dan bayaran balik mencecah RM16 bilion juga memberi tekanan kepada perusahaan.
“Kekurangan dana untuk perniagaan menjadikan kecairan pasaran meningkat,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsudin Bardan.
“Kami juga bimbang dengan potensi kenaikan upah pekerja kerana keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji minimum secara berkala. Perusahaan juga mengadu tak cukup pekerja kerana pembekuan pengambilan pekerja asing.”
Walaupun MEF menjangkakan terdapat lebih banyak peluang pekerjaan baharu, kenaikan kos perniagaan boleh menyebabkan majikan tidak mengambil pekerja baharu, kata Shamsudin. – 1 September, 2018.
Komen