BN gagal bayar balik cukai sebanyak RM16 bilion lagi


Menteri Kewangan Lim Guan Eng bekata jumlah RM16.0 bilion tunggakan melibatkan 1,653,786 syarikat, individu, persatuan dan yayasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2018.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini gagal membayar semula lebihan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah berjumlah RM16.05 bilion pada Mei tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata RM16.046 bilion tunggakan pembayaran balik cukai tidak dikembalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan 1,653,786 syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Sebanyak 29% kes, berjumlah RM3.09 bilion melibatkan syarikat, tertunggak lebih enam tahun. Lebih RM1.503 bilion lagi melibatkan individu, pertubuhan dan yayasan.

Kes di antara empat dan lima tahun berjumlah 22%, dengan RM2.759 bilion melibatkan syarikat dan RM780 juta hutang lain.

Kes antara dua dan tiga tahun berjumlah 38%, dengan RM5.212 bilion hutang kepada syarikat dan RM913 juta kepada pihak lain.

Sementara itu, kes 11% kes berusia setahun, dengan jumlah hutang RM1.356 bilion kepada syarikat dan RM433 juta kepada pihak lain.

Lim berkata, baki tunggakan yang besar disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut. Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei 2018 hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar,” katanya.

“Dengan kata lain, masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei 2018 yang menyebabkan 1,653,786 pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih 6 tahun dahulu.” – 22 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen