TERDAPAT 62 kes didaktarkan di mahkamah khas bagi jenayah seksual melibatkan kanak-kanak sejak Mac hingga 26 Julai tahun ini, lapor Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Menterinya, Azalina Othman Said berkata 11 kes berjaya diselesaikan, 25 kes disebut di mahkamah, sementara 26 kes masih menjalani proses perbicaraan.
Beliau juga berkata mahkamah khas Putrajaya mempunyai infrastruktur seperti Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT), Sistem Audio Visual, dan bilik untuk saksi kanak-kanak.
“Infrastruktur khas ini penting dalam membantu prosiding di mahkamah, dan memastikan perbicaraan dan pendengaran kes dijalankan dengan cepat dan cekap,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan Azalina itu sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad yang meminta jumlah kes penderaan seks kanak-kanak yang dibicarakan, dan sekiranya mahkamah khas untuk jenayah seksual kanak-kanak sudah mula beroperasi.
Azalina menambah hakim Mahkamah Sesyen kelas JUSA C mempengerusikan mahkamah khas ini.
“Pelantikan seorang hakim tinggi adalah kerana kes ini melibatkan isu undang-undang yang rumit,” kata menteri itu.
Pada 4 Julai mahkamah mengadakan prosiding pertamanya yang melibatkan kes rogol gadis berusia 13 tahun, yang diadakan secara tertutup untuk melindungi saksi yang memberi kenyataan.
New Straits Times melaporkan pembantu kedai makan berusia 29 tahun, Mohd Haziq Hussain didakwa merogol gadis itu di sebuah bilik di Lorong Hajjah Latipah di Segambut, Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 malam pada 15 Februari 2015.
Dua saksi memberi keterangan di hadapan mahkamah dan perbicaraan itu akan diteruskan dari 7 Ogos hingga 9 Ogos di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.
Mahkamah itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Najib Razak pada 22 Jun sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memerangi jenayah seksual kanak-kanak di negara ini. – 31 Julai, 2017.
Komen