Putrajaya ambil berat isu tanah Orang Asli


Kamles Kumar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil berat mengenai isu tanah Orang Asli dan telah berunding dengan peguam negara untuk meminda undang-undang melibatkan perkara berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA sedang meneliti untuk meminda undang-undang berkaitan tanah Orang Asli yang kini berada di bawah kerajaan negeri, kaya P. Waytha Moorthy.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil berat mengenai isu berkenaan dan telah berunding dengan peguam negara mengenai pindaan tersebut.

“Malang sekali perkara tanah ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, kerajaan sedang meneliti undang-undang tersebut. Kami sudah berunding dengan AG (peguam negara) untuk melihat apa lagi yang boleh dilakukan untuk melindungi hak Orang Asli,” Waytha memberitahu pemberita selepas merasmikan sebuah forum di Petaling Jaya malam ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, isu tanah, air dan Islam berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Orang Asli di Kelantan membina sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan yang menceroboh tanah mereka. Bagaimanapun, sekatan itu dirobohkan kerajaan negeri semalam.

Aktivis dan Orang Asli bergandingan tangan dan menangis ketika sekatan yang mereka bina bagi menghalang pembalak dan peladang ke tanah hutan mereka, dirobohkan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 28 Ogos, 2018.

Menurut Waytha,  Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, R. Sivarasa akan mengetuai rombongan untuk berunding dengan kerajaan Kelantan.

“Saya fikir Sivarasa akan cuba bercakap dengan kerajaan negeri. Kami akan bersama-sama melakukannya,” katanya.

Kira-kira 200 pegawai dari Jabatan Perhutanan Kelantan dan Pejabat Tanah Gua Musang mencabut sekatan di Cawas, Kaleg dan Kegeg semalam.

Operasi bersama terhadap tiga sekatan di hutan Ulu Kelantan itu dijalankan selepas kerajaan negeri dan persekutuan gagal menyelesaikan perebutan tuntutan tanah antara suku Temiar di Gua Musang dan perniagaan agrikultur. – 28 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen