AKTIVIS Orang Asli berlinangan air mata ketika berganding tangan dan tetap berdiri ketika pihak berkuasa dari kerajaan negeri Kelantan merobohkan sekatan yang dibina dan dijaga masyarakat itu sejak tujuh bulan lalu bagi menghalang pembalak dan peladang.
Operasi bersama terhadap tiga sekatan di hutan Ulu Kelantan itu dijalankan selepas kerajaan negeri dan persekutuan gagal menyelesaikan perebutan tuntutan tanah antara suku Temiar di Gua Musang dan perniagaan agrikultur.
Kira-kira 200 pegawai dari Jabatan Perhutanan Kelantan dan Pejabat Tanah Gua Musang berada di sekatan di Cawas, Kaleg dan Kegeg pagi ini.
Mereka mencabut tiang kayu sekatan itu dengan membuka ikatan dan memotong pemegangnya. Tidak seperti operasi sebelum ini, tiada penggunaan gergaji mesin dan kapak, dengan pegawai penguat kuasa dengan sabar menceraikan bahagian sekatan itu dan mengalihkannya.
Kira-kira 80 anggota polis berpakaian biasa dari Pasukan Gerakan Am turut bersiap sedia bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Aktivis dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) yang membina dan menyelia sekatan itu tidak menentang atau cuba melawan tindakan pihak berkuasa merobohkan sekatan berkenaan.
Di sekatan Kaleg kira-kira 100 pemuda Orang Asli berpakaian tradisional, membuat perisai manusia di belakang sekatan kayu yang mereka bina apabila melihat beberapa kenderaan membawa anggota berpakaian seragam menghampiri sekatan itu.
Sekatan Kaleg menjadi lokasi konfrontasi antara aktivis JKOAK dan peladang sejak beberapa bulan lalu dan sekatan itu dibuat pada satu-satunya laluan untuk ke ladang durian, nenas dan balak getah.
Bagi mengelakkan sebarang provokasi dan keganasan, pegawai daripada Jabatan Perhutanan mendekati rantaian manusia Orang Asli untuk memujuk mereka mengalihkan struktur yang menghalang jalan itu secara sukarela.
“Kami hanya mengikut arahan pihak atasan. Kami minta dengan baik kamu alihkan sekatan ini. Kami harap kamu dapat berikan kerjasama. Tolong,” kata pegawai Jatan Perhutanan kepada pemimpin di sekatan Kaleg Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah.
“Kami minta dengan baik. Ini arahan dari kerajaan negeri. Tolong beri kerjasama dengan kami. Kami beri kamu peluang.
Kami tidak mahu gunakan kekerasan dan menahan sesiapa. Kami hanya mahu minta kerjasama kamu untuk alihkan sekatan dan berikan laluan,” kata egawai berkenaan yang enggan dinamakan, kepada Dendi.
Dendi, yang berdiri di tengah-tengan rantaian manusia itu enggan berganjak.
“Kami tidak akan alih sekatan dan kami sedia berdepan apa sahaja tindakan.”
Selepas gagal menasihati aktivis JKOAK, pegawai berkenaan dilihat bercakap dengan rakan setugasnya sebelum memberi arahan untuk mengalihkan sekatan.
Atas arahan itu, pasukan perhutanan dan PTG mula memgalihkan kayu dan tali yang digunakan dalam sekatan itu.
Di sebelah kawasan, Dendi hanya menitiskan air mata dan terus berdiri bersama rakan-rakannya untuk mengekalkan rantaian manusia dan melihat sekatan itu dialihkan.
Ia memerlukan antara lima ke enam orang untuk mengalihkan dua batang balak yang dijadikan tiang untuk sekatan itu. Sekatan Kaleg berjaya dirobohkan dalam masa satu jam setengah.
Walaupun sekatan dirobohkan, aktivis terbabit terus berdiri dan menghalang jalan.
Pegawai jabatan perhutanan yang sama kembali menasihati dan cuba memujuk mereka untuk bersurai dan tidak menghalang jalan, namun kumpulan terbabit tidak mempedulikannya.
Pegawai berkenaan kemudian meminta anggotanya untuk menunggu sehingga mereka bersurai.
Ketika dihampiri The Malaysian Insight, Dendi berkata perisai manusia JKOAK itu akan menggantikan sekatan yang dirobohkan.
“Kami akan terus duduk dan halang peladang. Kami akan lakukan ini sehingga tuntutan kami dipenuhi kerajaan.”
JKOAK menuntut hak tanah adat Orang Asli di Ulu Kelantan diiktiraf kerajaan negeri. Mereka mendakwa tanah berkenaan diceroboh oleh syarikat perladangan.
Bagaimanapun, terdapat pemimpin Orang Asli yang menentang sekatan itu dan menghantar petisyen kepada kerajaan negeri Kelantan untuk merobohkannya.
Pegawai perhutanan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan arahan merobohkan sekatan itu adalah dari kerajaan negeri.
Jurucakap polis Gua Musang berkata, anggotanya akan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan keganasan atau provokasi.
Katanya, pihaknya tidak terlibat dalam merobohkan sekatan itu. – 27 Ogos, 2018
Komen