PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim sekali lagi memberi jaminan akan membantu memperkukuhkan pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad demi pembangunan negara.
Anwar berkata kehadiran beliau dalam majlis anjuran Bersatu adalah untuk menyampaikan mesej kepada ahli-ahli akar umbi yang tiada masalah antaranya dan pengerusi Bersatu itu.
Anwar turut mengakui ada pihak merasakan kedua-dua mereka sukar bekerjasama untuk mentadbir negara.
“Sekarang ini tumpu untuk bangunkan negara. Dr. Mahathir berjaya terajui kerajaan atas tuntutan rakyat.
“Orang tidak boleh fikir gandingan (Dr) Mahathir-Anwar boleh berlaku tetapi kedua-dua kami berpakat kerana kasih dan cinta pada negara.
“Saya akan pastikan pimpinan Dr Mahathir tetap kukuh, berkesan supaya agenda pembangunan negara dapat diteruskan tanpa sebarang masalah dan gangguan.
“Kita akan terus meningkatkan kerjasama dan muafakat ini untuk pastikan negara ini utuh, Pakatan kuat dan perubahan yang dijanjikan itu dapat dilaksanakan,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Adha di Klang malam ini.
Ketua Biro Strategi Bersatu Rais Hussin sebelum ini mengakui wujud gerakan daripada penyokong Dr Mahathir dan Anwar untuk menggagalkan proses peralihan kuasa perdana menteri itu.
Rais menasihatkan pihak-pihak yang berkepentingan menghormati keputusan yang telah dibuat supaya peralihan kuasa itu nanti berjalan dengan baik.
Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid dalam kempen pemilihan parti baru-baru ini mendakwa wujud pakatan antara Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dengan Penasihat Dr. Mahathir Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Anwar dalam respon balasnya menyifatkan dakwaan Abdullah itu hanyalah pandangan peribadi dan menggesa semua calon menumpukan soal dasar dan bukannya serangan peribadi ketika berkempen.
Abdullah sudah meminta maaf kepada Dr Mahathir atas tuduhan itu. – 26 Ogos, 2018.
Komen