Khidmat pengiring Hishammuddin tamat selepas 9 Mei


Alfian Z.M. Tahir

Hishammuddin berkata tiga anggota ATM itu mempunyai hubungan rapat dengan beliau dan keluarganya selain telah berkhidmat lama, dan kini hanya berkhidmat buat sementara.

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengesahkan perkhidmatan pengiring yang disediakan oleh pasukan khas kepada bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein ditamatkan serta-merta selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi satu kenyataan, ATM berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai tentera yang didapati menjalankan tugas tanpa sebarang kebenaran.

ATM berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut, tetapi enggan mendedahkan hasil siasatan.

“ATM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan anggota tentera tidak menjalankan tugas untuk individu yang tidak berkaitan. Pada masa sama, tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang didapati melanggar perintah dan peraturan semasa,” kata kenyataan itu.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengarahkan siasatan segera berhubung dakwaan tiga anggota tentera khas masih berkhidmat untuk Hishammuddin.

“Saya telah mengarahkan satu siasatan dijalankan secepat mungkin dan tindakan akan diambil jika berlaku pelanggaran peraturan,” katanya menerusi kenyataan dalam laman sosial Facebook.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menjawab kepada laporan berita bahawa dua anggota pasukan khas tentera laut (Paskal) dan seorang komando masih berkhidmat untuk Hishammuddin dan meraih dua pendapatan.

“Mereka merupakan anggota pasukan tentera dan tidak boleh dengan mudah bekerja untuk sesiapa. Namun mereka bekerja dengan Hishammuddin secara sepenuh masa, bukannya separuh masa,” lapor Malaysiakini yang memetik kenyataan sumber.

Dua anggota Paskal itu masih aktif bertugas dan masing-masing berkhidmat sehingga tahun 2020 dan 2021.

Tiga anggota tentera itu menjadi pegawai pengiring Hishammuddin apabila beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013.

Hishammuddin masih menunggu maklum balas daripada Hishammuddin berhubung perkara tersebut.

Menerusi kenyataan dalam laman Twitter semalam, Hishammuddin berkata tiga anggota ATM itu mempunyai hubungan rapat dengan beliau dan keluarganya selain telah berkhidmat lama, dan kini hanya berkhidmat buat sementara.

Hishammuddin berkata, beliau menawarkan kerja kepada tiga anggota tentera itu dengan syarat mereka perlu menamatkan perkhidmatan dengan ATM jika menerima tawaran tersebut. – 26 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen