KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) menyiasat dakwaan bahawa anggota khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih berkhidmat sebagai pegawai pengiring bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, beliau mengeluarkan arahan agar siasatan segera dibuat.
“Saya telah mengarahkan siasatan segera dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap amalan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas laporan satu portal berita yang menyebut, dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando masih berkhidmat kepada Hishammuddin.
Malah anggota berkenaan juga didakwa mendapat dua gaji, iaitu daripada ATM dan bekas menteri pertahanan tersebut, lapor Malaysiakini.
“Sepatutnya mereka tentera tak boleh bekerja dengan sesiapa tetapi ini mereka bekerja pula dengan Hishammuddin, malah bukan separuh masa sebaliknya sepenuh masa,” kata sumber itu seperti dipetik oleh Malaysiakini.
Dua anggota Paskal tersebut dilaporkan masih berkhidmat, masing-masing sehingga 2020 dan 2021.
Tiga pegawai berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013.
The Malaysian Insight sedang menunggu reaksi Hishammuddin berhubung dakwaan tersebut. – 25 Ogos, 2018.
Komen