MUSA Aman menggesa pihak berkuasa berlaku adil dan bebas dalam siasatan polis berkenaan ugutan jenayah dalam majlis angkat sumpah ketua menteri Sabah yang tergesa-gesa dilakukan selepas pilihan raya umum lalu.
Ditahan pada Khamis sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis, Musa yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya berkata institusi awam tidak boleh menerima tekanan mana-mana pihak atau kerajaan.
“Saya juga mahu menegaskan kepercayaan saya kepada Kehakiman, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.
“Mereka perlulah sentiasa dibenarkan menjalankan tugas mereka dengan bebas dan berniat baik.
“Kesucian agensi itu perlu sentiasa dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi menerusi pengawai khasnya, Awangku Faisyal.
Musa juga berkata beliau memang berniat untuk mengangkat sumpah sebagai Adun Sibuga tetapi hanya akan berbuat demikian apabila pulih nanti.
Menurut Perlembagaan, beliau mempunyai masa sehingga 11 September untuk angkat sumpah atau kerusi itu akan dikosongkan.
Musa yang mengelak daripada pihak berkuasa dengan menjalani rawatan perubatan di luar negara sedang disiasat atas tuduhan ugutan jenayah kepada Yang di Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin berkenaan majlis angkat sumpahnya selaku ketua menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.

Presiden Warisan Shafie Apdal kemudiannya mengangkat sumpah selaku ketua menteri selepas menerima sokongan majoriti Adun Sabah. Kedua-dua pemimpin itu dijangka bertembung sekali lagi di mahkamah berkaitan siapakah yang berhak menjadi ketua menteri. Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam membenarkan Musa mencabar pelantikan Shafie.
Kenyataan Musa malam tadi dikeluarkan selepas polis mengumumkan semalam yang mereka akan menghantar kertas siasatan ugutan jenayah kepada pendakwa raya pada Isnin.
Siasatan itu dilancarkan selepas Juhar membuat laporan polis pada 20 Mei, mendakwa Musa mengugutnya pada malam 10 Mei iaitu malam majlis angkat sumpah.
Musa kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor ditahan polis pada 23 Ogos. Beliau mendapat rawatan di United Kingdom dan kembali ke Malaysia melalui Singapura pada Isnin.
Permohonan reman dilakukan polis semalam ditolak oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan beliau dibebaskan dengan ikat jamin polis.
Musa tidak hadir di Dewan Undangan Negeri Sabah untuk majlis angkat sumpah selaku Adun yang dijadualkan semalam.
Pada pendengaran permohonan reman Musa semalam, peguamnya Amer Hamzah berkata bekas ketua menteri itu secara konsisten memaklumkan pihak berkuasa lokasinya dan memberikan kerjasama penuh walaupun sedang dirawat di UK.
“Perjalanannya sentiasa dibuat melalui saluran sah dan dijelaskan kepada majistret, salihan dokumen perjalannnya juga diberikan kepada majistret.
“Musa adalah warga Malaysia dan tidak pernah sekalipun beliau meninggalkan negara ini secara haram atau wujud keperluan untuknya berbuat demikian.
“Apa sahaja tuduhan yang beliau meninggalkan negara secara haram atau beliau orang buruan atau beliau menghilangkan diri, jelas sekali menunjukkan kedangkalan pengetahuan dan pendidikan penuduhnya,” kata Amer. – 25 Ogos, 2018.
Komen