MUSA Aman yang tidak hadir pada acara mengangkat sumpah Adun hari ini, dibenarkan untuk mencabar pelantikan pesaingnya, Shafie Apdal sebagai ketua menteri Sabah.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini membenarkan Musa mencabar pelantikan presiden Parti Warisan Sabah itu selepas Shafie gagal mengetepikan saman pemula Musa yang difailkan pada Jun.
Permohonan mengetepikan saman itu pada awalnya ditetapkan pada 3 September tetapi dipercepatkan ke hari ini.
Hakim Yew Jen Kie memutuskan perbicaraan ditetapkan untuk mendengar dakwaan Musa sebagai ketua menteri yang sah dan keputusan mahkamah dijangka pada akhiar Oktober selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
“Melihat kepada afidavit dan hujah kedua-dua pihak, saya berpuas hati bahawa plaintif membangkitkan persoalan undang-undang, yang memerlukan pertimbangan penuh yang menyebabkan saman pemula tidak sesuai untuk diketepikan.
“Oleh itu, saya menolak permohonan menolak saman itu dengan kos,” kata Yew dalam penghakiman bertulis.
Musa memfailkan saman pemula terhadap Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie berhubung siapa yang layak sebagai ketua menteri Sabah.
Saman itu memohon mahkamah mengisytiharkan pelantikan Shafie dan angkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei sebagai tidak sah dan terbatal.
Pada 10 Mei, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di mana ia kini menjadi kes tuduhan intimidasi jenayah oleh Juhar.
Ketua pasukan peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad hari ini berkata kes itu akan didengar dalam perbicaraan menerusi hujahan.
Sementara itu, peguam Douglas Lind yang mewakili Shafie berkata hakim memberi Musa tempoh hingga 14 September untuk memfailkan hujahan, di mana Shafie perlu membalasnya sebelum 28 September.
“Mereka akan menjawab hujahan kami pada 5 Oktober dan keputusan pada 26 Oktober. Jadi kita akan tahu keputusannya selepas itu,” kata Lind.
Musa semalam ditahan tetapi kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. Beliau dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
Beliau tidak hadir pada sidang dewan undangan negeri Sabah hari ini untuk mengangkat sumpah sebagai Adun Sibuga.
Timbalan Presiden DUN Sabah Ahmad Abdul Rahman berkata pegawai khas Musa mengesahkan ketidakhadirannya.
“Pejabatnya tidak menyatakan sebab tetapi akan membuat susulan menerusi e-mel untuk menjelaskan kenapa tidak hadir,” kata Ahmad kepada wartawan ketika ditemui di bangunan DUN jam 4 petang tadi.
Speaker Syed Abbas Syed Ali sebelum itu berkata: “Beri masa kepada Musa. Tidak perlu tergesa-gesa. Beliau ada tempoh hingga 11 September untuk mengangkat sumpah.” – 24 Ogos, 2018.
Komen