Pemerkasaan wanita agenda utama calon Pakatan di Balakong 


Low Han Shaun

Calon Pakatan Harapan untuk PRK Balakong, Wong Siew Ki mahu memperkasakan wanita dalam arena politik supaya di masa depan mereka tak lagi perlu bergantung kepada kuota 30%. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2018.

PEMERKASAAN wanita dalam arena politik adalah matlamat yang mahu dicapai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong Wong Siew Ki.

Dalam kempennya hari ini, Wong memberitahu penyokong wanitanya satu hari nanti wanita tidak perlu bergantung kepada kuota 30% untuk menjadi pembuat dasar.

“Saya percaya satu hari nanti wanita diperkasakan tanpa kuota dan menyertai proses membuat dasar,” kata calon daripada DAP itu kepada hampir 50 wanita yang hadir mendengar ceramahnya.

Antara janji manifesto pilihan raya PH adalah memastikan sekurang-kurangnya 30% pembuat dasar di semua peringkat adalah wanita.

Wong bertanding dalam PRK Balakong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee kerana kemalangan jalan raya 20 Julai lalu.

“Mengapa kita sokong kuota 30%? Kerana hanya wanita tahu masalah wanita,” kata Wong.

Wong memberikan contoh ahli Parlimen yang mengaitkan kejadian bumbung Parlimen bocor kepada kitaran haid bulanan wanita.

“Ahli Parlimen itu juga kata wanita ‘bocor air’ setiap bulan. Itu sangat menganggu.

“Satu lagi contoh adalah uniform pramugari yang dikatakan terlalu seksi. Apa ini? Banyak lagi perkara penting yang boleh dibincangkan di Parlimen tetapi mereka pilih membincangkan isu ini.

“Kerana itulah mengapa sangat penting untuk wanita diwakili secara saksama di Parlimen,” katanya.

Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze yang turut hadir menyokong Wong berkata tanggapan yang wanita lemah perlu diubah.

“Wakil rakyat muda (seperti Wong) sangat penting kerana hanya dengan itu kita boleh bawa lebih banyak idea moden supaya negara kita jadi lebih baik.”

Ng menambah yang wanita juga perlu memenuhi tanggungjawab kepada keluarga selain tuntutan kerja.

“Selain mengandungkan anak, kita juga perlu jaga keluarga. Dan dengan perbelanjaan harian yang meningkat, kita juga terpaksa bekerja.

“Jadi kalau kita boleh bawa semua masalah ini ke Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, harapnya ia akan dapat tambah baik kehidupan wanita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 21 hari kempen untuk PRK Balakong dan Seri Setia, hari pengundian untuk kedua-duanya ditetapkan pada 8 September.

Wong menentang calon MCA Tan Chee Teong di Balakong.

Ceramah DAP hari ini turut dihadiri Adun Kuala Kubu Baru Lee Kee Hiong, Adun Rahang Mary Josephine Prittam Singh, Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. – 22 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen