Berbeza pendapat atau tidak, calon Pakatan siap sedia pelan untuk Balakong


Gan Pei Ling

Calon PH untuk PRK Balakong, Wong Siew Ki pernah menyertai himpunan Bersih 2.0 dan menerbitkan beberapa dokumentari politik dengan pelbagai isu bertentangan dengan kerajaan terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2018.

WONG Siew Ki terkenal sebagai seseorang yang mempunyai pendapat yang berbeza.

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong itu akan menjadi wakil rakyat yang lantang jika dipilih untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 8 September.

Seorang penerbit dokumentari politik sebelum menyertai DAP, Wong adalah sebahagian daripada generasi belia yang dipolitikkan selepas pilihan raya 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiganya di Dewan Rakyat dan kuasa terhadap lima negeri buat pertama kalinya.

Beliau menyertai himpunan Bersih 2.0 dan aktif di Kelab Bangsar Utama dan Dapur Jalanan Kuala Lumpur. Rakannya seperti Adun Subang Jaya Michelle Ng dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin kini aktif berkempen untuknya dalam PRK itu.

Wong, 32, mula aktif pada 2012 sebagai penerbit dokumentari menerusi “Jatuh”, sebuah filem tentang kematian tragik seorang pegawai khas politik, Teoh Beng Hock ketika disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam.

“Mereka yang terbabit dalam politik (pembangkang) pada masa itu boleh hilang nyawa bila-bila masa saja. Saya fikir ia sesuatu yang penting untuk ditonjolkan,” kata Wong.

Dokumentarinya yang lain: “Hasut” (2016) mengangkat isu penggunaan Akta Hasutan untuk mendiamkan pengkritik kerajaan selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri sementara “Warisan” (2014) ialah tentang bangunan bersejarah di Kuala Lumpur yang hilang kerana pembangunan.

Perbezaan pendapat adalah tema biasa dalam dokumentari politiknya tetapi Wong juga pernah bekerja di dalam pertubuhan.

Pernah bertugas sebagai setiausaha politik kepada bekas exco Selangor dan ahli majlis, Wong berkata beliau yakin akan dapat bekerja dengan pelbagai agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, banjir dan bekalan air yang sekian lama dialami penduduk Balakong.

“Kita baru saja berkuasa di Putrajaya. Wakil rakyat perlu bekerjasama dengan tiga peringkat kerajaan untuk membangunkan Balakong.

“Penyandang sebelum ini Eddie Ng terkenal dengan jolokan orang air. Beliau agih air kepada rakyat bila berlaku gangguan bekalan air.

“Kami mahu selesaikan masalah ini supaya ia tidak berlaku lagi,” katanya, menambah Majlis Perbandaran Kajang akan mengumumkan pelan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Pembangunan budaya dan belia

Dengan campuran 61% Cina, 30% Melayu dan 8% India, Wong cuba untuk memenuhi keperluan semua segmen berbeza dalam kalangan masyarakat di Balakong.

“Infrastruktur di kampung-kampung baharu Cina lebih teruk berbanding kawasan perumahan baharu. Berlaku juga kebanjiran pendatang asing kerana ia kawasan industri. Ia satu kawasan yang mencabar,” katanya.

Balakong yang dulunya kawasan penoreh getah, kini lebih dikenali sebagai kawasan perindustrian.

“Kampung baharu Cina ada sejarah tersendiri. Di Jepun, hampir setiap bandar ada maskot masing-masing yang mewakili karakter dan identiti unik tempat itu.

“Selain infrastruktur fizikal, saya juga mahu meningkatkan penghargaan budaya rakyat dan sayang terhadap Balakong,” kata Wong, menambah beliau akan meneruskan amalan Adun sebelum ini menerusi penganjuran Pesta Balakong, satu festival budaya untuk menarik golongan belia.

Antara masalah yang menekan sekarang yang perlu ditanganinya sekarang ialah aktiviti dadah dalam kalangan belia.

“Kenapa mereka ambil dadah? Ia kerana kurangnya tujuan dalam hidup mereka. Saya pernah bengkel dokumentari untuk belia sebelum ini.

“Semua orang ada telefon pintar sekarang ini. Menerusi bengkel itu, kami ajar mereka bagaimana menulis dan mempersembahkan sesebuah cerita, dan membuat rakaman. Semua orang boleh merakam, tetapi bagaimana hendak sampaikan kisah yang bagus?

“Anda perlu bangunkan perspektif sendiri. Ini bermakna membangunkan kemahiran berfikir secara bebas. Ia juga mengajar mereka mengekspresikan diri.

“Bila mereka ada rasa hendak belajar, tanya soalan tentang perkara yang mereka tidak tahu, mereka tidak ada masa untuk benda lain seperti dadah,” katanya.

Wong akan berdepan dengan lawan dari MCA, Tan Chee Teong pada 8 September depan.

PRK Balakong perlu dilakukan susulan kematian penyandangnya, dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 Julai.

Pada PRU14, Ng mempertahankan kerusinya di Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi. – 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen