DAIM Zainuddin dan Majlis Penasihat Kerajaan perlu meneruskan kerja mereka, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Katanya, beliau belum menamatkan khidmat Daim sebagai pengerusi majlis itu, yang memainkan peranan menasihati kerajaan Persekutuan.
“Daim sebut 100 hari. Saya tidak pernah sebut 100 hari itu,” kata Dr Mahathir kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar di China, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Berita RTM.
“Saya mahu beliau ada untuk melakukan sebahagian kerja saya, menjejaki di mana wang itu.
“Daim ada akses kepada banyak maklumat. Amat berguna untuk beliau teruskan.
“Saya belum menamatkan khidmat beliau. Saya juga belum bayar beliau sesen pun, dan beliau bekerja 24 jam sehari,” katanya.
Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan pengerusi majlis penasihat itu semalam bahawa mandat untuk 100 hari sudah tamat dan laporan syornya akan diserahkan kepada perdana menteri.
“Setakat yang kami tahu, tugas kami sudah habis dan akan kembali kepada kerja masing-masing,” kata Daim kepada wartawan semalam.
Majlis Penasihat ditubuhkan pada 12 Mei oleh Dr Mahathir selepas Pakatan Harapan menang di peringkat Persekutuan dan sebelum Kabinet penuh dibentuk. Tugasnya adalah untuk menasihati kerajaan dalam hal ehwal negara, termasuk ekonomi dan kewangan, semasa tempoh peralihan kuasa.
Majlis tersebut dilaporkan diberi mandat selama 100 hari, dan ia disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong ketika menjawab soalan wakil rakyat pembangkang berhubung perkara itu.
Selain Daim, ia turut dianggotai Zeti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara), Hassan Merican (bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Petronas) Robert Kuok (tokoh korporat) dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi).
Majlis Penasihat, walaupun hanya mempunyai peranan sebagai penasihat, didakwa melebihi kuasa Kabinet dan hanya melapor kepada perdana menteri.
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempersoal lawatan Daim ke China bagi membincangkan projek-projek infrastruktur mewakili Putrajaya, berkata bahawa Daim bukan wakil rakyat yang dipilih. Mereka juga mengkritik tindakan Majlis Penasihat memanggil bekas ketua hakim Raus Syarif, yang meletak jawatan sejurus perjumpaan tersebut.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa awal hari ini berkata Majlis Penasihat perlu membentangkan laporannya di Parlimen untuk diteliti rakyat. – 21 Ogos, 2018.
Komen