UMNO menuntut laporan Majlis Penasihat Kerajaan diddedahkan kepada umum dan dibentang di Parlimen.
Setiausaha Agung Annuar Musa berkata ini bagi menepis spekulasi mengenai peranan Majlis yang dipengerusikan oleh Daim Zainuddin.
“Saya mencadangkan laporan CEP hendaklah didedahkan kepada awam dan perlu dilaporkan dalam sidang parlimen akan datang.
“Ini bukan sahaja supaya ada ketelusan, tetapi juga mengelak tuduhan-tuduhan selepas ini,” kata Annuar dalam satu kenyataan.
Semalam, Daim berkata mandat 100 hari Majlis Penasihat Kerajaan tamat pada Ahad dan laporan mengenai cadangan Majlis itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebaik sahaj beliau balik dari China.
Ahli-ahli Majlis dipilih oleh Dr Mahathir selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan. Ia ditubuhkan bagi mengkaji semula dan menasihati Putrajaya mengenai urusan negara sebelum Kabinet penuh dibentuk.
Pembangkang menuduh Majlis itu mengambil alih peranan menteri Kabinet. Ketelusan Majlis juga dipersoalkan kerana ia hanya melapor kepada perdana menteri.
Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata Majlis tidak ditadbir oleh mana-mana undang-undang dan tiada kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk disisasat.
“CEP tidak ada legitimasi undang- undang atau perlembagaan dan ia juga tidak merupakan sebahagian daripada tiga cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.
“Kewujudannya secara berterusan boleh membongkah sistem demokrasi parlimen sedia ada,” katanya.
Tambah Annuar lagi, peranan Majlis harus ditamatkan dan ahlinya tidak lagi perlu mencampuri urusan pentadbiran negara kerana ia akan mewujudkan “koflik kepentingan”.
“Atas dasar prinsip kebertanggungjawapan bersama Kabinet, kita merasakan tidak wajar lagi untuk CEP wujud, dan Kabinet perlulah berfungsi sewajarnya,” katanya.
Bekas pengerusi Mara itu juga berkata beliau mengesyaki Majlis terlibat dalam politik melebihi kuasa Kabinet dan ini katanya akan membawa keburukan di masa depan jika mandatnya diteruskan.
“Sudah kedengaran timbul syak wasangka atas peranan CEP yang diketahui umum sangat terlibat dgn percaturan politik aras tinggi. Ini bakal memburukkan situasi dan mewujudkan Kabinet di belakang Kabinet,” kata Annuar. – 21 Ogos, 2018.
Komen