Kehilangan peranti radioaktif tiada kaitan pengganas


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata unitnya telah memeriksa kedua-dua juruteknik yang ditahan sebelum ini tiada kaitan dengan aktiviti pengganas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2018.

BUKIT Aman menolak kaitan keganasan dalam kes kehilangan Peranti Penyebaran Radiologi (RDD).

KETUA Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata unitnya telah memeriksa kedua-dua juruteknik yang ditahan sebelum ini dan tidak menemui sebarang kaitan dengan aktiviti pengganas.

“Kami sudah menyiasat insiden tersebut dan menyiasat kedua-dua lelaki yang ditahan, dan kami dapat tiada kaitan dengan keganasan.

“Kes itu kini di bawah Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ),” kata Ayub.

Difahamkan polis menyiasat kedua-dua lelaki berkenaan dengan terperinci termasuk mengambil peranti peribadi mereka yang diimbas oleh unit forensik.

Ketua JSJ Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan bahawa peranti tersebut hilang.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun semalam mendedahkan bahawa kes kehilangan RDD bukan kali pertama berlaku kerana peranti yang sama dilaporkan hilang pada tahun lalu dan masih belum ditemukan.

“Kes yang sama berlaku pada tahun lalu melibatkan peralatan yang sama. Sehingga hari ini alat tersebut masih hilang dan belum dijumpai,” kata Fuzi.

Bagaimanapun Fuzi tidak pasti bila kejadian itu berlaku.

Menurut laporan akhbar The New Straits Time semalam, pihak polis kini giat mencari alat RDD seberat 23 kilogram itu yang dilaporkan hilang sejak 10 Ogos lalu.

Peranti itu yang merupakan Alat Radiografi Perindustrian, mengandungi bahan radioaktif Iridium- 192 yang boleh digunakan sebagai senjata oleh kumpulan pengganas atau militan.

Pihak polis dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menyuarakan kebimbangan jika alat tersebut jatuh ke tangan militan atau pengganas, atau pihak yang menjualnya untuk mendapatkan wang dengan mudah.

Difahamkan, alat tersebut bernilai kira-kira RM75,000. – 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen