KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini mendedahkan kes kehilangan Peranti Penyebaran Radiologi (RDD) bukan kali pertama berlaku kerana peralatan yang sama dilaporkan hilang pada tahun lalu dan masih belum ditemukan.
“Kes yang sama berlaku pada tahun lalu melibatkan peralatan yang sama. Sehingga hari ini alat tersebut masih hilang dan belum dijumpai,” kata Fuzi.
Bagaimanapun Fuzi tidak pasti bila kejadian itu berlaku.
“Butiran tentang kes itu tidak ada pada saya, jadi saya tidak ingat,” katanya.
Fuzi berkata, dua juruteknik yang ditugaskan untuk memindahkan peralatan itu telah dibebaskan dengan ikat jamin selepas kenyataan mereka diambil.
“Kami masih menyiasat kes itu. Berdasarkan keterangan mereka, peralatan itu hilang secara tidak sengaja. Alat itu tidak disimpan dengan baik ketika dipindahkan.”
Menurut laporan akhbar The New Straits Time hari ini, pihak polis kini giat mencari alat RDD seberat 23 kilogram itu yang dilaporkan hilang sejak 10 Ogos lalu.
Peranti itu yang merupakan Alat Radiografi Perindustrian, mengandungi bahan radioaktif Iridium- 192 yang boleh digunakan sebagai senjata oleh kumpulan pengganas atau militan.
Pihak polis dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menyuarakan kebimbangan jika alat tersebut jatuh ke tangan militan atau pengganas, atau pihak yang menjualnya untuk mendapatkan wang dengan mudah.
Difahamkan, alat tersebut bernilai kira-kira RM75,000. – 20 Ogos, 2018.
Komen