Perisik tentera diarah letak jawatan susulan operasi PRU14


Alfian Z.M. Tahir

PUTRAJAYA mengarahkan seorang pegawai kanan pejabat pengarah perisikan tentera (DMI) supaya meletak jawatan selepas timbul dakwaan mengenai peranan yang dimainkan bahagian tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bahagian itu didakwa menerima sejumlah RM7 juta daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak pada lima tahun lalu, sejurus sebelum PRU13.

Sumber berpangkat tinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia berkata khidmat pegawai kanan itu akan tamat pada 1 September.

“Beliau dinasihatkan untuk berhenti, dan hari terakhirnya adalah pada 1 September,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Mengapa beliau dinasihatkan untuk berhenti, maklumat itu terlalu sulit (untuk dikongsi).”

The Malaysian Insight, bagaimanapun, difahamkan yang arahan itu dikeluarkan selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya dan menjalankan siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum itu, laman pembocor maklumat Sarawak Report membuat pendedahan mengenai transaksi yang didakwa dibuat menerusi akaun bank peribadi milik Najib menjelang PRU13 pada 2013.

Laporan itu mendakwa Najib membayar RM7 juta kepada pegawai kanan tersebut pada 8 April 2013, kira-kira sebulan sebelum PRU13. Wang tersebut dipercayai berpunca dari sumber 1MDB.

Sarawak Report turut mempersoal sama ada pegawai yang dimaksudkan sedia menjelaskan mengapa DMI menerima cek peribadi daripada perdana menteri sebelum pilihan raya berlangsung.

DMI adalah agensi perisikan tentera bersama Angkatan Tentera Malaysia. Ia dilaporkan menerima arah terus daripada panglima Angkatan Tentera.

Laman pembocor maklumat itu mendakwa angka transaksi tersebut diperoleh daripada pasukan petugas bersama yang menyiasat 1MDB sejak Mac 2015 sehingga ia dibubarkan.

Antara pihak yang menggesa agar pegawai kanan tersebut disingkirkan adalah Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang mendakwa menerima mesej WhatsApp berhubung peranan yang dimainkan oleh DMI menjelang PRU14.

Presiden Patriot brigedier (B) Mohamed Arshad Raji berkata mesej berkenaan mendakwa DMI memainkan peranan kepada ahli politik Barisan Nasional untuk mendapatkan sokongan pengundi bagi membolehkan calon BN menang.

Sumber lain mengesahkan yang pegawai berkenaan akan ditamatkan perkhidmatnya pada 1 September.

“Tetapi saya tidak tahu siapa yang akan mengantikannya,” kata sumber kedua itu.

Seorang pegawai dari Kementerian Pertahanan tidak menolak dakwaan itu sambil menambah: “Apa yang kamu dengar sama dengan apa yang saya dengar. Itu sahaja.”

Sejak mengambil alih Putrajaya selepas PRU14, beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi meletak jawatan atau tidak diperbaharui kontraknya sebagai sebahagian langkah untuk membasmi kegiatan rasuah dan salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu.

Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Dzulkifli Ahmad meletak jawatan pada 14 Mei, lima hari selepas PH memerintah sementara khidmat bekas ketua peguam negara Mohamad Apandi Ali ditamatkan pada 5 Jun dan diganti dengan Tommy Thomas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat “hasutan” daripada sumber luar, menyebabkan beliau sukar mempercayai penjawat awam. – 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen