Tak perlu debat, kita dalam parti sama, kata calon ketua Wanita PKR


Nabihah Hamid

CALON ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata tiada keperluan untuk setiap calon dalam pemilihan PKR berdebat kerana masing-masing datang dari parti yang sama.

“Debat itu antara kita dengan pembangkang. Kita adalah satu keluarga. Kenapa perlu debat sesama kita. Kita kongsi wawasan yang sama, apa yang kita mahu debatkan.

“Teknik, kaedah pendekatan mungkin berbeza tetapi wawasannya sama. Jadi tidak apa yang perlu didebatkan. Saya nampak itu merugikan kalau tujuan untuk memalukan pihak lain. Saya rasa kita perlu hentikannya,” kata exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor itu kepada The Malaysian Insight.

Adun Lembah Jaya itu mengulas kenyataan lawannya, Fuziah Salleh dari kem Rafizi Ramli yang bersedia berdebat kerana merasakan ia platfom yang baik untuk menyebarkan visi dan misi masing-masing bagi merebut jawatan sayap itu.

Fuziah Salleh berkata melalui pentas debat, seseorang calon boleh mengemukakan idea yang akan dinilai oleh lebih 800,000 ahli PKR yang akan memilih mereka.

Bagaimanapun, Haniza berkata beliau lebih suka bersemuka dengan akar umbi untuk menyampaikan agenda untuk mengangkat sayap itu.

“Saya tiada masalah, saya sentiasa turun berjumpa wanita seluruh negara dan saya bercerita tentang hala tuju wanita keadilan.

“Saya tiada masalah dari segi untuk menyampaikan hala tuju, visi dan misi saya. Jadi tak perlu nak berdebat sebab saya sentiasa berhubung dengan wanita .

“Saya rasa mungkin pencabar saya agak ketinggalan dari segi mana duduknya wanita keadilan sekarang,” katanya yang merujuk Fuziah yang pernah mengemudi Wanita PKR pada 2000 hingga 2007.

Calon timbalan presiden Rafizi sebelum ini berkata adalah memalukan sekiranya debat pemilihan PKR tidak dibuat memandangkan Umno sendiri mengadakannya semasa pemilihan parti itu Jun lalu.

“Saya cukup bersedia malah saya rasa kalau tidak ada perdebatan itu sangat memalukan kerana Umno dah buat, Umno dah mula dulu. Saya rasa itu budaya yang baik,” kata Rafizi.

Azmin bagaimanapun menolak pelawaan Rafizi kerana tidak melihat ada keperluan untuk ia dibuat secara langsung di televisyen.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas pelawaan tersebut tapi saya rasa tidak perlu kerana ia pemilihan dalaman parti.

“Ini bukan pemilihan presiden atau terus di mana anda mahukan penglibatan rakyat,” kata ahli Parlimen Gombak itu. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen