ANCAMAN terbesar PKR adalah kebangkitan pemimpin parti yang merancang untuk membunuh politik Anwar Ibrahim dan gerakan ‘reformasi’, dakwa calon naib presiden parti itu S Kesavan pada perhimpunan yang diadakan di Sabah, malam tadi.
Kesavan mendakwa, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan mereka yang setia kepadanya menjadi “masalah sebenar” dalam parti.
“Masalah paling besar dalam PKR sekarang adalah parti memerlukan pemimpin yang jujur dan betul-betul mahu menjadi perdana menteri.
“PKR tidak memerlukan pemimpin yang di luar nampak setia kepada parti, namun di belakang merancang untuk menggagalkan gerakan reformasi sebenar,” katanya ketika majlis makan malam kempen bersama penyokongnya di Kota Kinabalu, malam tadi.
Kesavan bertanding di bawah calon timbalan presiden Rafizi Ramli, yang meningkatkan serangan mereka terhadap Azmin yang didakwa mereka sebagai pasukan menentang kenaikan Anwar ke jawatan perdana menteri.
Kesavan mencabar Azmin menyatakan sokongannya dengan jelas kepada Anwar sebagai perdana menteri ke lapan selepas Dr Mahathir Mohamed meletakkan jawatan itu.
“Tanya kepada timbalan presiden mengapa sehingga kini beliau tidak tampil dan menyatakan sokongan penuhnya terhadap Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.
“Jadi inilah masalah sebenar dalam PKR dan ini sebabnya ita menggesa untuk perubahan dalam kepimpinan parti,” katanya.
Turut hadir malam tadi adalah Rafizi, calon Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.
PKR akan mengadakan pemilihan partinya bermula bulan depan. – 20 Ogos, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan