Cerita ketua Orang Asli yang dulu disanjung, kini dituduh khianat


Sheridan Mahavera

Konflik antara syarikat perladangan dan Orang Asli Gua Musang berpunca daripada sepucuk surat sokongan dikeluarkan lapan tahun lalu. Setakat ini, masih tiada titik perdamaian. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2018.

BAGI aktivis Orang Asli Gua Musang, Awin Pedik adalah tokoh yang mengkhianati komuniti orang asal itu apabila “menjual” komunitinya sendiri kepada syarikat perladangan yang merampas tanah adat pusaka mereka.

Tetapi bagi tok batin berusia 64 tahun itu, nuraninya jelas, tindakannya selama ini adalah demi masa depan yang lebih baik, semuanya untuk komuniti.

Awin tampil untuk bercerita dari sudut pandangnya ketika konflik antara aktivis Temiar Gua Musang dan syarikat perladangan yang beroperasi di hutan Ulu Kelantan itu semakin memuncak.

Tok batin Pos Bihai, salah satu penempatan suku kaum Temiar di hutan Ulu Kelantan itu berkata, beliau tidak pernah menyesali tindakannya lapan tahun lepas walaupun ia jadi punca ketegangan yang berlaku sekarang.

“Saya tak perdaya penduduk kampung. Saya tak menipu mereka. Mereka tandatangan dengan rela,” kata Awin mengenai surat sokongan operasi ladang sekitar perkampungan Orang Asli di Pos Tohoi.

Surat sokongan pada 2010 daripada lima orang ketua suku Temiar itu secara dasarnya memberikan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi dalam kawasan mereka.

Aktivis daripada Jaringan Orang Asli Kelantan (JKOAK) dan penyokong mereka dari perkampungan Temiar sekitar Ulu Kelantan mendakwa Awin memperdayakan mereka.

Awan Pedik, ketua yang kini dianggap pengkhianat berkata beliau bermesyuarat dengan lima tok batin sepanjang 12 jam tentang cadangan membenarkan syarikat perladangan beroperasi di tanah mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Ogos, 2018.

Beliau digelar “pensubahat” dengan syarikat perladangan itu dan disyaki menerima habuan apabila memperdaya penduduk kampung.

Mereka mendakwa Awin menyelitkan surat sokongan kepada syarikat perladangan itu bersama-sama dokumen lain yang sepatutnya membantah aktiviti pembalakan yang berlaku.

Terpengaruh dengan pujuk rayu Awin, lima tok batin menandatangani timbunan dokumen. Mereka mendakwa mereka tak sedar yang mereka juga menandatangani surat sokongan.

Pada Sabtu lalu, Awin tanpa berganjak dan gentar berkata tidak pernah ada surat bantahan.

“Hanya ada surat sokongan dan saya jelaskan isi kandungannya kepada ketua kampung dan semua yang berada dalam mesyuarat itu supaya mereka faham. Mereka tandatangan dengan rela. Tidak ada paksaan dan tidak ada penipuan,” kata Awin kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Kuala Lumpur.

“Mereka kata saya tipu penduduk kampung. Mereka kata saya jual tanah Orang Asli untuk perladangan. Ini semua penipuan didalangi Jaringan (JKOAK).”

Katanya, beliau tidak pernah menerima apa-apa habuan daripada syarikat berkenaan.

“Saya tak ada rumah, kereta atau tanah pun.”

Ipar duai

Kewujudan surat sokongan itu menjadi titik pertikaian antara peladang dan pembalak dengan aktivis Temiar berkenaan hak tanah di Ulu Kelantan itu.

Peladang mendakwa mereka mendapat kebenaran kerajaan negeri serta sokongan komuniti Temiar setempat untuk membuka dan menjalankan perladangan getah, nanas dan durian Musang King di tanah seluas 5,000 ekar itu.

Aktivis pula mendakwa yang tanah tersebut adalah tanah adat, terma yang merujuk kepada kawasan hutan dikongsi komuniti untuk membekalkan makanan, air bersih dan herba yang merupakan asas kebudayaan dan keagamaan Orang Asli.

Pertentangan tuntutan itu menyebabkan aktivis JKOAK menyekat jalan masuk ke ladang dan mewujudkan ketegangan antara mereka dan peladang.

Aktivis tersebut menyalahkan Awin kerana masalah dihadapi komuniti itu dengan peladang pada masa sekarang.

Semuanya dilakukan supaya belia Temiar boleh bekerja di kampung tanpa perlu ke bandar untuk meningkatkan kualiti hidup mereka, kata Awan Pedik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2018.

Di pihaknya, Awin berkata surat sokongan itu dibuat bagi pihak tok batin Pos Tohoi, Rahmat Abdullah yang juga iparnya.

“Rahmat datang berjumpa saya kerana saya memang dikenali dengan kerja sama bersama Koperasi Kijang Mas di Gua Musang. Saya ikon komuniti.

“Beliau minta saya tolong dapatkan kerja untuk oranya di ladang. Beliau mahu cari kerja untuk orang muda.”

Awin bersetuju dan mula berunding dengan peladang tersebut. Syarikat itu terbuka kepada idea menyediakan pekerjaan dengan syarat komuniti menyatakan sokongan kepada mereka.

“Jadi saya tulis surat sokongan dan bentangkan kepada tok batin. Kami berbincang selama 12 jam daripada 8 malam sampai 8 pagi. Saya desak mereka supaya berbincang sesama sendiri supaya mereka bersetuju.”

Surat itu yang dilihat The Malaysian Insight ditandatangani lima tok batin iaitu Seman Senaweng, Gorbon Garyon, Abong Lehya, Rahmat Abdullah and Anjang Akad, semua mereka adalah penghulu.

Dokumen itu menyatakan sokongan mereka “kepada operasi syarikat di kawasan Pos Simpor dan Pos Tohoi.”

Sebagai balasan, syarikat menyediakan kerja kepada belia Temiar “supaya mereka tidak perlu ke kawasan bandar cari pekerjaan untuk meningkatkan kualiti kehidupan keluarga mereka”.

Aktivis mendakwa mereka membuat laporan dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli sebulan kemudian, mendakwa mereka ditipu.

Awin bagaimanapun mendakwa komuniti tidak mengadu sehingga tiga tahun selepas itu apabila mereka membuat laporan polis di Gua Musang.

“Ia berlaku hampir sama dengan penubuhan Jaringan (JKOAK). Ngo dan peguam mereka membantu buat laporan polis.”

Sejak surat itu ditandatangani lapan tahun lalu, syarikat itu mengota janji mereka dengan mengutamakan belia Temiar sebagai pekerja.

“Saya orang beragama, saya tak takut apa yang mereka kata tentang saya. Saya buat untuk tolong orang kampung dan tolong ipar saya.” – 19 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen