Pakatan Harapan (PH) akan terus menyelesaikan isu negara walaupun terpaksa mewarisi kerosakan yang dilakukan pentadbiran terdahulu, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata kerosakan itu lebih teruk daripada apa yang dijangka PH.
“Semua jabatan dihasut dan diperguna oleh mereka untuk membuat kerja parti mereka dan bukan pentadbiran negara dengan baik.
“Hutang mereka berjumlah trillion ringgit, angka yang tidak pernah kita dengar dahulu.
“Namun dengan sombongnya mereka nafi yang mereka melakukan kerosakan ini. Dengan tidak merasa malu mereka mengaku wang berjuta Ringgit yang dikesan adalah untuk parti mereka. Bagaimana mereka boleh ada sebegitu banyak wang tidak dijelaskan,” katanya pada ucapan 100 hari kerajaan Pakatan Harapan yang disiarkan secara langsung di RTM 1 malam ini.
Pengerusi PH itu berkata kerajaan PH juga akan menamatkan falsafah “cash is king”, yang dipegang bekas perdana menteri Najib Razak.
“Wang hanya menjadi raja kalau memiliki jumlah yang besar. Untuk parti politik mendapat wang yang sebegini banyak, tidak ada jalan lain dari mencuri.
“Beban yang besar yang ditinggal oleh pemerintah dahulu ialah hutang bertrillion Ringgit. Untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok.
“Kalau hendak cerita tentang kesalahan pemerintah dahulu, masa berhari-hari diperlukan. Oleh itu kita akan tumpukan kepada tindakan memenuhi janji dalam manifesto kita,” katanya.
Dr Mahathir berkata antara janji yang berjaya dilaksanakan PH adalah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Tetapi untuk membawa balik Sales and Service tax memerlukan kelulusan oleh Parlimen. Proses mendiri kerajaan dan persidangan Parlimen mengambil masa.
“Sementara SST menunggu kelulusan Parlimen, maka cukai SST tidak dapat dikutip. Dengan itu harga kereta dan lain-lain menurun dan rakyat menikmati keadaan jual murah.”
Dr Mahathir juga berkata janji-janji lain dalam manifesto sudahpun ditunaikan termasuk mengekalkan harga petrol kecuali RON97 kerana ia kurang digunakan. – 17 Ogos, 2018.
Komen