ANWAR Ibrahim hari ini mendedahkan terdapat ramai ahli Parlimen yang bersedia untuk menawarkan kerusi mereka kepadanya untuk bertanding.
Presiden PKR itu berkata beliau masih belum memutuskan kawasan mana yang akan ditandinginya.
“Sejak pulang dari Turki, ramai ahli Parlimen berjumpa dengan saya. Ramai yang mahu tawarkan kerusi kepada saya tetapi saya rasa belum tiba masanya lagi (untuk bertanding),” kata Anwar pada sidang media di Petaling Jaya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu, beliau akan terlebih dahulu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya sudah berbincang dengan Dr Mahathir minggu lalu dan selepas saya buat keputusan, saya akan maklumkan kepada beliau terlebih dahulu. Hanya selepas itu saya akan maklumkan kepada pihak lain,” tambah Anwar.
Beberapa wakil rakyat menyatakan kesudian untuk menawarkan kerusi mereka untuk ditandingi Anwar, termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.
Ahli Parlimen Batu M. Prabakaran dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut dikhabarkan bersedia untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Presiden Perkasa Ibrahim Ali dalam sidang media hari ini mendesak Anwar supaya bertanding di kawasan Parlimen Pandan atau Permatang Pauh, yang sekarang masing-masing diwakili oleh isteri beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.
Ibrahim berkata dengan cara itu, tiada mana-mana ahli Parlimen PKR yang perlu mengosongkan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Jelas beliau, tindakan orang lain mengosongkan kerusi untuk Anwar itu adalah amat tidak wajar.
“Anwar memang kena bertanding dalam pilihan raya segera, di mana dia kena bertanding, sama ada di kerusi isteri dia atau anak dia. Kenapa nak cari kerusi-kerusi lain?
“Janganlah amalkan politik nepotisme. Jadi saya cadang sebaiknya Anwar tanding di Pandan, Wan Azizah letak jawatan. Bila Anwar menang jadi ahli Parlimen, lantik dia jadi timbalan perdana menteri, bekerjasama bersama Mahathir,” katanya. – 17 Ogos, 2018.
Komen