PRESIDEN Perkasa Ibrahim Ali mendesak Presiden PKR Anwar Ibrahim supaya bertanding di kawasan Parlimen Pandan atau Permatang Pauh, yang sekarang masing-masing diwakili oleh isteri beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.
Ibrahim berkata dengan cara itu, tiada mana-mana ahli Parlimen PKR yang perlu mengosongkan kerusi mereka untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Jelas beliau, tindakan orang lain mengosongkan kerusi untuk Anwar itu adalah amat tidak wajar.
“Anwar memang kena bertanding dalam pilihan raya segera, di mana dia kena bertanding, sama ada di kerusi isteri dia atau anak dia. Kenapa nak cari kerusi-kerusi lain?
“Janganlah amalkan politik nepotisme. Jadi saya cadang sebaiknya Anwar tanding di Pandan, Wan Azizah letak jawatan. Bila Anwar menang jadi ahli Parlimen, lantik dia jadi timbalan perdana menteri, bekerjasama bersama Mahathir,” katanya dalam sidang media mengumumkan penubuhan parti politik baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.
Ibrahim mengulas isu peralihan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar, yang dibayangkan oleh sesetengah pihak sebagai ada masalah.
Dalam pada itu, Ibrahim mencadangkan supaya Dr. Mahathir diberi ruang mentadbir negara selama sepenggal sebelum memberi laluan kepada Anwar untuk jadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
“Saya cadang Anwar ganti TPM dan Dr. Mahathir diberi peluang jangan dua tahun sahaja, setidaknya satu penggal. Sampai tempoh PRU15, Dr. Mahathir letak jawatan beri pada Anwar. Jika menang jadilah PM.
“Dr. Mahathir sudah 94 tahun, jangan hendak lebih daripada itu, jangan nak mengada-ngada. Umur sudah 94, beliau kena rehat juga, biar Anwar ganti,” katanya.
Isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar berbangkit dalam kempen pemilihan PKR yang sedang berjalan sekarang.
Dalam kempen di Johor Bahru minggu lalu, Abdullah Sani Abdul Hamid yang bertanding kerusi Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata Anwar hanya akan jadi perdana menteri sekiranya Rafizi Ramli diangkat sebagai timbalan presiden PKR, dan bukannya Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang menyertai pasukan Rafizi turut mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin mendalangi Azmin, tidak mahu Anwar jadi perdana menteri. – 17 Ogos, 2018.
Komen