Projek kereta baharu bercanggah dengan dasar Pakatan, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Projek kereta nasional 3.0 bercanggah dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan mahu menggalakkan rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

PENGANALISIS berpendapat projek kereta nasional baharu yang dirancang kerajaan bercanggah dengan polisi pengangkutan awam Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan sebelum ini. 

Ketua Pengarah Pusat Kajian Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Law Teik Hua berkata ia tidak selari dengan kempen menggunakan pengangkutan awam kerana pengguna boleh membeli kereta murah.

“Anda (kerajaan) bagi MRT, LRT, dan anda juga bagi pilihan supaya orang membeli kereta. Oleh itu, bagaimana kita mahu memastikan MRT dan LRT akan terus hidup?” soal beliau.

Oleh itu, kerajaan perlu memaksa orang ramai menggunakan pengangkutan awam dengan menambah kemudahan infrastruktur kepada penyedia perkhidmatan tersebut, katanya.

“Contohnya, kerajaan perlu menyediakan laluan khas bas kerana ia akan mengecilkan laluan kenderaan hingga memaksa orang ramai menaiki bas,” ujarnya lagi.

Law turut mencadangkan kerajaan mengutamakan syarikat pengangkutan awam dengan memberi insentif kewangan.

“Kerajaan perlu memberi subsidi kepada pihak syarikat pengangkutan awam dan pihak syarikat juga perlu menjalankan kajian bagi menambah baik sistem.”

Jelasnya lagi, kerajaan dapat menjimatkan kos dengan memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam daripada melabur kereta nasional baharu dan kos menambah jalan raya.

Projek kereta nasional dimulakan oleh Dr Mahathir Mohamad dengan Proton sekitar 1980-an. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2018.

Menurutnya, kadar pemilikan kereta dalam kalangan rakyat Malaysia sangat tinggi hingga menyebabkan rakyat lebih banyak menghabiskan masa dalam kesesakan.

“Hasil data daripada kajian saya mendapati, pengguna jalan raya di Lembah Klang menghabiskan masa 16 jam sehari berdepan dengan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Mac lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan jumlah pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang meningkat 3.7% atau 1,206,111 bagi tahun 2017 berbanding 1,162,717 pada 2016.

Walaubagaimanapun, Law menegaskan peningkatan itu amat sedikit dan tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota. 

“Data itu menunjukkan sama ada kapasiti yang disediakan tidak cukup atau kapasiti itu sendiri gagal dipenuhkan,” jelas beliau. 

Kajian mendapati penduduk Lembah Klang menghabiskan masa 16 jam sehari dalam kesesakan lalu lintas, seterusnya membuktikan usaha menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam perlu dipergiat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

Antara usaha yang diumumkan kerajaan baharu untuk meningkatkan penggunaan kenderaan awam adalah pas bulanan RM 100 bagi akses tanpa had.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Jun lalu, berkata pas itu akan diperkenalkan awal tahun depan.  

Tentangan ke atas penubuhan syarikat kenderaan nasional baharu itu antara lain disuarakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang meminta agar rancangan itu diperhalusi semula.

Turut menentang cadangan itu adalah Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang berpendapat penubuhan kereta nasional baharu itu akan memberi kesan kewangan kepada rakyat. 

Cadangan itu bagaimanapun mendapat sokongan Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Jomo Kwame Sundaram yang berpendapat rancangan itu akan memperbanyakkan sektor perindustrian maju di negara ini.

Pakar ekonomi itu menjelaskan,usaha itu akan dapat merealisasikan hasrat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1990-an untuk membangunkan kereta elektrik.

Menurutnya, ia akan dapat memenuhi keperluan global untuk menangani isu pemanasan global dan pencemaran udara dari penggunaan bahan api.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof mengumumkan kerajaan sedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang tahun 2020. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen