PEMIMPIN PKR Rafizi Ramli menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula rancangan melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020.
Beliau berkata perkara itu juga harus dibawa ke Majlis Presiden PH terlebih dahulu untuk dibincangkan dan dipersetujui oleh semua parti komponen.
“Walaupun saya faham sebarang keputusan seperti itu akan dibuat oleh Kabinet, keputusan seperti itu mesti dibincangkan di peringkat PH sebelum dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada pengumuman oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof minggu lepas yang kerajaan memutuskan melancarkan projek kereta nasional baharu menjelang 2020 seperti dibayangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad.
Redzuan berkata kerajaan percaya langkah itu dapat memulihkan industri automotif negara.
Rafizi, yang bertanding bagi jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang, berkata projek sedemikian menentang kehendak rakyat.
Beliau berkata pelan kereta nasional tidak disebut dalam kempen atau manifesto PH dalam untuk Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau menambah PH dipilih di atas platform untuk mengurangkan beban hidup rakyat.
“Walaupun rakyat terus memberikan kita peluang untuk menunaikan janji manifesto kita, melancarkan projek kereta kebangsaan baharu yang tidak popular tidak akan diterima baik oleh mereka.”
Rafizi bertanya jumlah wang rakyat yang dicadangkan oleh kerajaan untuk projek itu.
“Dan agensi kerajaan mana yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan projek ini?
“Dan adakah kerajaan persekutuan akan memotong duti eksais untuk menurunkan harga kereta?”
Beliau berkata Buku Jingga PH, yang dilancarkan pada 2010, berjanji untuk menghapuskan duti eksais yang dikenakan ke atas kereta.
Beliau berkata dasar menghapuskan duti eksais kekal selepas pembentukan PH.
Beliau juga bertanya sama ada Kementerian Pembangunan Usahawan mempunyai rancangan untuk melaksanakan kereta nasional ketiga pada 2020.
Dr Mahathir menegaskan hasratnya untuk membangunkan semula projek kereta nasional ketiga semasa lawatannya ke Jepun pada Jun.
Perdana menteri dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji membangunkan projek kereta nasional 3.0 selepas Proton dan Perodua. – 6 Ogos, 2018.
Komen