Pakatan tak perlu minta maaf tak sempat lunas janji, kata TPM


Yasmin Ramlan

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pakatan Harapan tak perlu minta maaf kerana tak sempat tunai janji dalam 100 hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2018.

TIADA keperluan untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminta maaf kerana tidak sempat melunaskan 10 janji dalam 100 hari pemerintahan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

“Tidaklah,” kata Dr Wan Azizah apabila ditanya sama ada PH perlu meminta maaf kerana tidak melunaskan semua janji tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata kementeriannya sedang melaksanakan salah satu janji PH iaitu Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

“Sekurang-kurangnya di kementerian saya sudah buat Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah di bawah Program Sukarela Insentif SURI (SURI) itu saya sudah berjaya mempromosikan dan menjalankan program itu,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga presiden PH itu berkata, pihaknya kini dalam usaha melaksanakan janji lain manifesto.

“Ia tidak hanya itu, saya rasa lebih dari itu dan yang lain dalam proses,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengakui bukan mudah untuk melaksanakan janji-janji tersebut.

“Bukan mudah, kita tidak ada cukup informasi untuk tahu apa sebenarnya untuk selesaikan masalah,” katanya.

Daripada sepuluh janji PH, hanya dua berjaya ditunaikan iaitu penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan penstabilan harga petrol. Antara janji lain manifesto PH adalah gaji minimum, Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk skandal kewangan melibatkan agensi pelaburan dan kerajaan seperti 1MDB, Felda dan Mara serta Perjanjian Malaysia 1963.

Tempoh 100 manifesto PH itu berakhir esok. – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen