Najib disiasat semula? PAC tak tolak kemungkinan


Yasmin Ramlan

Bekas perdana menteri Najib Razak mengalu-alukan siasatan baharu yang dijangka dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

JAWATANKUASA Kira-kira Kewangan Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak akan dipanggil semula dalam siasatan baharu ke atas skandal 1MDB.

Pengerusinya PAC Ronald Kiandee berkata nama individu yang mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan di persidangan jawatankuasa itu masih belum ditentukan.

“Terlalu awal untuk kita tentukan siapa dipanggil kerana kita harus berpandukan kepada rujukan yang akan dibuat dan strategi siasatan semua itu akan ditentukan,” katanya ketika ditanya pemberita.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata PAC akan melakukan siasatan terhadap 1MDB jika usul supaya siasatan terhadap 1MDB itu dibuka semula seperti yang terdapat dalam aturan mesyuarat hari ini.

“PAC di bawah Parlimen dan semestinya jika apa-apa yang diluluskan oleh Parlimen, PAC perlu lakukan.

“Jika ada usul yang sedemikian tentu sekali PAC akan buat siasatan,” katanya di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sama ada siasatan itu akan berkait dengan siasatan yang dilakukan sebelum ini dan agensi mana yang akan dipanggil.

“Kita belum tentukan lagi (agensi mana). Jadi mula-mula kita kena dapatkan taklimat dari ketua audit. Apa yang disiasat sebelum ini, kita akan lakukan siasatan susulan dari situ.

“Semestinya kita tidak akan mengulangi apa yang pernah disiasat sebelum ini dan siapa yang mereka panggil,” katanya.

Usul agar siasatan terhadap 1MDB dibuka semula itu oleh ketua audit dan PAC itu dbentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Usul itu juga menyatakan bahawa segala penemuan dalam siasatan tersebut akan didedahkan kepada umum, dan tidak diletakkan bawah Akta Rahsia Rasmi seperti siasatan tahun 2016.

Ia turut menggariskan, siasatan terperinci ke atas penggelapan wang skandal 1MDB dan syarikat berkaitan itu bagi memulihkan martabat Dewan Rakyat.

Najib pada hari ini turut mengalu-alukan siasatan baharu itu kerana yakin beliau tidak melakukan sebarang kesilapan dalam kes melibatkan 1MDB. – 15 Ogos, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen