AHLI Parlimen Kapar Abdullah Sani mendakwa seorang pengikut Zuraida Kamaruddin mengugut isterinya selepas beliau membuat kritikan terbuka terhadap ketua Wanita PKR itu.
Dakwanya, ugutan itu dibuat seorang lelaki dalam satu kiriman rakaman audio melalui aplikasi WhatsApp semalam.
Susulan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Kota Raja untuk siasatan selepas menerima rakaman itu tengahari semalam, katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
Abdullah mendakwa, lelaki tersebut antara lain mengugut untuk menelanjang dan memukul isterinya.
“(Zuraida) panggil orang untuk ugut isteri saya. Saya ada bukti dengan video sekali. Zuraida cukup pengkhianat dengan kata-katanya,” kata Abdullah.
Beliau juga mendakwa ugutan itu menunjukkan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu bersikap hipokrit kerana meminta pihak lawan berdisiplin.
“Dia bercakap pasal orang, dia sendiri macam itu,” katanya.
“Hantar orang (ugut) telanjangkan isteri, pastikan balun maksimum. Kamu menteri takkan lah nak panggil budak hingusan (buat ugutan sebegitu),” katanya.
Abdullah yakin ugutan itu berpunca daripada kenyataan isterinya Faizah Ariffin mengkritik Zuraida.
Kedua-duanya Abdullah dan Faizah merupakan calon dalam kem yang menyokong Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden parti dalam pemilihan PKR yang akan berlangsung bulan depan.
Isterinya yang bertanding jawatan exco Wanita PKR dalam ucapan minggu lalu mendakwa Zuraida hanya menumpukan pada “projek tertentu”.
Faizah dalam kempen pasukan Reformasi 20 Tahun di Seremban itu juga berkata, pemilihan kali ini adalah masa untuk ahli parti menamatkan riwayat kumpulan lawan.
Mengulas perkara itu, Zuraida tuduhan bahawa ugutan itu dilakukan penyokongnya.
Katanya, sesiapa sahaja boleh mengaku menjadi penyokong beliau dan berpendapat, frasa “menelanjangkan” itu mungkin bermaksud membuat pendedahan ke atas isu.
“Banyak orang (sokong) dia, (sokong) saya, macam mana nak buat?
“Saya rasa orang cakap itu dalam bahasa metafora, orang cakap nak telanjang tapi sebenarnya nak dedahkan.
“Bukan nak telanjangkan dia secara fizikal, tapi saya tak rasa begitu. Tapi saya tak tahu apa-apa,” kata Zuraida ketika ditemui.
Beliau juga menggalakkan Abdullah untuk membuat laporan polis.
“Buat laporan polis? Biarlah, baguslah. Apa saya nak mengaku, saya tidak tahu apa. Buat malu saja buat (ugutan) itu,” kata Zuraida lagi.
Laporan itu dibuat oleh Faizah semalam di Balai Polis Bukit Raja, Klang. – 14 Ogos, 2018
Komen