Biar parti ambil tindakan kes calon serang peribadi, kata Azmin


Yasmin Ramlan Nabihah Hamid

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, beliau percaya isu ini bukan sekadar isu disiplin, malah juga kewibawaan pemimpin dalam menerajui parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2018

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk mengambil tindakan kepada calon yang membuat serangan peribadi dalam kempen pemilihan parti.

Menteri hal ehwal ekonomi itu mengulas mengenai serangan dilancarkan pasukan Reformasi 20 Tahun pimpinan Rafizi Ramli ke atas beliau dan calon lain dalam kemnya hujung minggu lalu.

“Saya serahkan kepada jawatankuasa disiplin parti sama ada dalam (PKR) mahupun dalam Pakatan Harapan untuk melihat apakah bentuk tindakan yang wajar diambil.

“Namun saya, percaya ini bukan masalah disiplin sahaja, tetapi ini isu kewibawaan seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam mana-mana parti,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menggesa parti mengambil tindakan terhadap mereka yang berkempen menyerang peribadi lawan pada pemilihan.

Menurutnya, kempen bersifat peribadi itu sudah melampau kerana melibatkan parti komponen dalam Pakatan Harapan termasuk pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri. 

Azmin memberitahu pemberita, lebih baik jika pemimpin berkenaan menumpukan kepada kerangka besar PH yang telahpun diberi kepercayaan rakyat untuk melaksana agenda reformasi.

“Bagi saya, sebagai pemimpin kita tak boleh mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat  untuk melakukan perubahan.

“Maka saya mengajak semua pimpinan dan anggota meletakkan agenda besar ini mengatasi kepentingan individu, kelompok dan juga peribadi mana-mana pihak,” kata Azmin di lobi Parlimen hari ini.

Seruan sama turut disuarakan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang berpendapat, serangan daripada calon kem lawan itu melanggar batas kerana menyerang peribadi lawan sehingga membabitkan pihak yang tiada kena mengena dengan parti.

Dalam kempen di tiga negeri – Johor, Negeri Sembilan dan Melaka hujung minggu lepas, pemimpin dalam kem Rafizi antara lain mewndakwa Anwar tidak akan menjadi perdana menteri sekiranya Azmin menang jawatan timbalan presiden.

Calon dalam pasukan Rafizi Ramli juga meminta ahli PKR menolak Azmin kerana mendakwa penyandang jawatan timbalan presiden itu ditaja oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan penasihat kerajaan Daim Zainuddin.

Dakwaan tersebut dinafikan Dr Mahathir yang menuntut pemimpin PKR terbabit membuktikan dakwaan tersebut.

Anwar dalam kenyataan melalui Utusan Malaysia hujung minggu lalu juga mengulangi jaminan bahawa Dr Mahathir telahpun membuat perjanjian bertulis untuk menyerahkan jawatan itu kepadanya. – 14 Ogos, 2018

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen