PKR perlu mengambil tindakan terhadap calon-calon pemilihan parti itu yang sudah melanggar batas, berkempen menyerang peribadi lawan sehingga membabitkan pihak yang tiada kena mengena dengan parti, kata Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin.
Kempen bersifat peribadi itu sudah melampau, katanya, kerana sudah melibatkan parti komponen dalam Pakatan Harapan termasuk pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri.
Zuraida berharap biro politik PKR yang bermesyuarat malam ini akan menyentuh isu berkenaan bagi memastikan segala yang keruh dapat dijernihkan semula dan proses pemilihan PKR berjalan lancar tanpa kempen yang negatif.
Beliau bagaimanapun berkata tidak akan membuat aduan kepada parti kerana mereka yang terlibat melakukan perbuatan itu “bukan taraf saya hendak melayan mereka.”
“Parti perlu melihat (kempen serangan peribadi) ini sudah terbuka, sudah (dilaporkan) media dan parti sendiri boleh buat tindakan terhadap mereka.
“Pimpinan harus membincangkan dalam biro politik dan mengambil tindakan pada mereka ataupun untuk memastikan bahawa selepas ini perjalanan untuk pemilihan parti tidak ada anasir-anasir yang mencerminkan ketidakmatangan parti itu sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zuraida yang ditemui di lobi Parlimen mengulas serangan pasukan Rafizi Ramli dalam kempen mereka pada hujung minggu lalu.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan juga meminta PKR menyatakan sikap berhubung tindakan beberapa pemimpinnya yang mengheret Dr Mahathir ke dalam pemilihan parti itu.
Menurut Wan Saiful, mereka yang bertanding merebut jawatan dalam parti sepatutnya bercakap mengenai hal ehwal parti sendiri dan bukannya memfitnah pemimpin parti lain.
Jelas beliau, perangai semacam itu tidak diajar oleh Dr Mahathir dalam Bersatu, yang sebaliknya mengajar Bersatu agar menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan.
Rafizi, yang bertanding jawatan timbalan presiden mencabar Mohamed Azmin Ali, memulakan kempen menjelajah negeri-negeri bersama pasukannya yang diberi nama “Reformasi 20 Tahun” di tiga negeri di selatan, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Dalam kempen itu, mereka mendakwa Dr Mahathir dan Daim Zainuddin mahu merosakkan PKR dengan memperalatkan pemimpin PKR sendiri.
Mereka juga menuduh ada anasir dalam PKR yang merancang menjatuhkan Anwar supaya tidak jadi perdana menteri Malaysia kelapan.
Dalam kempen yang dibuka di Johor pada Jumaat, mereka menghantar mesej bahawa Anwar hanya akan jadi perdana menteri sekiranya Rafizi diangkat sebagai timbalan presiden PKR, dan bukannya Azmin.
Mereka sebelum ini turut menyerang Zuraida yang dituduh hanya mementingkan projek berbanding membangunkan parti manakala sayap wanita didakwa tidak berani melontarkan pandangan sendiri yang bertentangan dengan parti.
Zuraida yang bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini berkata beliau tidak setuju dengan cara kempen yang ditunjukkan oleh pasukan Rafizi itu, yang disifatkannya “tidak matang”.
“Saya tidak setuju dengan kempen yang tidak beretika, tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak menunjukkan kematangan.
“Ini tidak menunjukkan wawasan tetapi membuat serangan peribadi dan membabitkan lagi komponen Pakatan Harapan dan membabitkan perdana menteri. Ini satu cara tidak beretika langsung,” kata ahli Parlimen Ampang itu lagi.
Beliau yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan mengingatkan pasukan Rafizi bahawa PKR sekarang sudah jadi sebahagian daripada parti yang memerintah kerajaan, sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Anggota parti kita sangat kecewa, kita dah menang (Putrajaya). Kita tidak sepatutnya berkelakuan demikian. Kita perlu move on.
“Mereka menunjukkan kecetekan mereka dalam arena politik atau mencerminkan peribadi mereka sendiri bahawa mereka seolah-olah tidak berpelajaran,” katanya lagi. – 14 Ogos, 2018
Komen