MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata pihaknya akan mengadakan siasatan terperinci berhubung projek Plaza Rakyat yang tergendala sejak 20 tahun lalu.
Beliau berkata, ini kerana kementerian beliau perlu mendapatkan maklumat daripada kedua-dua belah pihak iaitu pemaju dan pemilik.
“Memang dah bawa ke pemerhatian saya tapi saya belum buat kajian latar belakang (projek terbengkalai) sebab dan apa yang berlaku.
“InsyaAllah, saya akan cuba dapatkan maklumat sepenuhnya. Kita kena buat siasatan kenapa ini berlaku,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dua hari lalu, The Malaysian Insight melaporkan pemilik lot projek berkenaan memohon kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan membantu mereka bagi mendapatkan pampasan daripada pemaju.
“Kalau ada salah laku di mana-mana peringkat, (keterbengkalaian projek itu) ketika di BN, malangnya kita kena tanggungjawab.
“Kita akan buat satu siasatan yang mungkin melibatkan soal audit. Kena dapat penjelasan daripada semua pihak,” katanya.
Projek berkenaan, yang terletak di Jalan Pudu, terbiar sejak 1998 selepas usaha untuk menghidupkan semula kawasan itu gagal disebabkan krisis kewangan 1997. – 14 Ogos, 2018.
Komen