Pemilik lot projek terbengkalai Plaza Rakyat mohon bantuan Pakatan


Noel Achariam

Projek Plaza Rakyat dihentikan sejak 20 tahun lalu akibat krisis kewangan 1997.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Ogos, 2018.

PEMILIK lot projek Plaza Rakyat, yang dihentikan sejak 20 tahun lalu, memohon kerajaan baharu agar membantu mereka bagi mendapatkan pampasan daripada pemaju.

Projek berkenaan, yang terletak di Jalan Pudu, terbiar sejak 1998 selepas usaha untuk menghidupkan semula kawasan itu gagal disebabkan krisis kewangan 1997.

Pada 2015, sebuah syarikat pemaju baharu mengambil alih projek berkenaan, dan sejak itu berlaku pertikaian antara pemaju tersebut dengan pemilik unit terbabit, yang menuntut pembayaran faedah selama 20 tahun.

Steven Yong, 78, berkata pemilik lot berharap dapat berjumpa Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad bagi menyuarakan rungutan mereka.

“Kami berharap dapat bertemu Khalid, dan kami berharap yang beliau dapat membantu kami. Saya sudah tua dan tidak ada punca pendapatan. Saya bergantung kepada saudara-mara.

“Saya harap kerajaan baharu boleh membantu kami untuk dapatkan semula bayaran deposit dengan faedah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Yong berkata beliau membeli dua lot di Plaza Rakyat, masing-masing berharga RM125,000 dan RM65,000.

“Satu lot untuk isteri saya membuka perniagaan salon rambut, tetapi dia sudah meninggal dunia.

“Yang satu lagi untuk buka kedai runcit. Kami keluarkan kesemua wang simpanan kami untuk membeli lot-lot berkenaan.”

Steven Yong, 78, berkata beliau membeli dua lot di Plaza Rakyat, masing-masing berharga RM125,000 dan RM65,000.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Ogos, 2018.

Bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan Loga Bala Mohan dilaporkan berkata kerajaan akan membenarkan projek itu disambung semula jika isu bayaran pampasan kepada pembeli diselesaikan.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju baharu, sebagai pemilik tanah, tidak mempunyai kewajipan undang-undang terhadap pemilik lot.

Seorang lagi pemilik, Francis Hoi Fatt, 70, berkata beberapa pemilik unit mahu wang deposit mereka dikembalikan, sementara yang lain mahu bertemu DBKL kerana pemaju baharu mempunyai isu dengan perjanjian jual beli baharu untuk unit-unit berkenaan.  

Beliau berkata kerajaan terdahulu gagal menangani isu itu.

Pemandangan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai di Jalan Pudu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Ogos, 2018.

“Peguam kami sudah beberapa kali menulis kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL, tetapi tidak ada respons.”

Sejak awal Januari, 104 daripada 211 pembeli asal diberikan surat tawaran oleh pemaju baharu, dan rundingan sedang berjalan.

Pemaju baharu, Profit Consortium Sdn Bhd, sudah menandatangi perjanjian jual beli dengan DBKL untuk mengambil alih tapak berkeluasan 6.2 hektar dengan harga RM740 juta pada Oktober 2015.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun berkata beliau sudah membangkitkan mengenai projek Plaza Rakyat di Parlimen sejak 1999.

“Tiga tahun lalu, pembeli baharu Plaza Rakyat bersetuju untuk membayar semula deposit. Lebih separuh (daripada pemilik lot) menerima wang mereka, tetapi ada antara mereka yang tidak mahu wang itu.

“Mereka mahu saman pemaju dan menuntut faedah sejak 20 tahun lalu. Mereka cuba saman pemaju terdahulu, tetapi pemaju itu bankrap.”

Plaza Rakyat sepatutnya menjadi tapak menara pejabat 79 tingkat, kondominium 46 tingkat, hotel 24 tingkat dan pusat membeli-belah tujuh tingkat.

Bagaimanapun, projek itu terhenti akibat krisis kewangan Asia 1997, dan terbengkalai sehingga kini.– 12 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen